Skip to main content

Malaysia

KKM perkukuh kolaborasi hospital, klinik kesihatan atasi kesesakan – Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly (foto) berkata langkah itu membolehkan kepakaran hospital dibawa terus ke Klinik Kesihatan bagi melengkapi peranan Pakar Perubatan Keluarga (FMS) dalam memberikan rawatan kepada pesakit. -Foto Facebook
Dr Dzulkefly (foto) berkata langkah itu membolehkan kepakaran hospital dibawa terus ke Klinik Kesihatan bagi melengkapi peranan Pakar Perubatan Keluarga (FMS) dalam memberikan rawatan kepada pesakit. -Foto Facebook

Ringkasan AI

  • KKM memperkenal empat pendekatan utama untuk mengurangkan kesesakan di 14 hospital besar melalui pengukuhan peranan Klinik Kesihatan berhampiran.
  • Langkah termasuk latihan pegawai perubatan, pengukuhan kesihatan awam, lawatan pakar ke klinik, dan peluasan preskripsi ubat tertentu di Klinik Kesihatan.
  • Keberkesanan strategi dipantau melalui KPI dan scorecard, dengan pelaksanaan bergantung kepada kesesuaian fasiliti serta perkhidmatan setiap klinik.
Advertisement

KLANG: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkukuh kolaborasi antara hospital dan Klinik Kesihatan (KK) di seluruh negara menerusi empat pendekatan utama bagi mengurangkan kesesakan di 14 hospital besar yang berdepan tekanan jumlah pesakit tinggi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pendekatan itu akan memberi peranan lebih besar kepada Klinik Kesihatan, khususnya yang terletak dalam lingkungan 10 kilometer dari hospital besar, bagi mengurangkan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital.

Menurutnya, KKM mempunyai 152 hospital dan 2,617 Klinik Kesihatan di seluruh negara yang boleh dimanfaatkan menerusi kerjasama lebih erat bagi memastikan pesakit menerima rawatan di fasiliti bersesuaian.

Advertisement

“Kita ada 152 hospital dan ada 14 hospital yang besar, ini adalah hospital yang sesak. Tapi kita juga mempunyai 2,617 klinik kesihatan seluruh negara.

“Klinik-klinik kesihatan yang berhampiran, dalam lingkungan kira-kira 10 kilometer dengan hospital-hospital besar ini, kita mahu mereka berperanan mengurangkan jumlah rakyat dan pesakit yang pergi ke hospital,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata pendekatan pertama ialah penubuhan Special Interest Group (SIG) bagi meningkatkan kemahiran pegawai perubatan di Klinik Kesihatan menerusi latihan, peningkatan kemahiran dan pentauliahan dalam tujuh bidang perubatan serta dua bidang obstetrik dan ginekologi (O&G).

Menerusi inisiatif itu, pegawai perubatan yang diberikan latihan berkenaan berupaya mengendalikan kes serta prosedur tertentu di Klinik Kesihatan tanpa memerlukan pesakit mendapatkan rawatan di hospital.

Katanya, langkah itu penting bagi mengurangkan kesesakan di zon hijau Jabatan Kecemasan yang turut menerima pesakit dengan keadaan tidak kritikal, namun berdepan tempoh menunggu antara enam hingga tujuh jam.

Pendekatan kedua pula membabitkan pengukuhan kesihatan awam dan pengurusan kesihatan populasi dengan memberi penekanan kepada pencegahan penyakit berbanding hanya merawat pesakit selepas jatuh sakit.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi mengawal peningkatan penyakit kronik serta penularan penyakit berjangkit seperti denggi yang boleh menyebabkan kemasukan pesakit ke hospital terus meningkat.

Beliau turut memberi contoh sebuah hospital yang berdepan beban pesakit denggi, sekali gus menunjukkan kepentingan memperkukuh pendekatan kesihatan awam dan pencegahan penyakit.

“Penjagaan kesihatan perlu lebih daripada sekadar rawatan penyakit. Kita perlu menekankan kesihatan awam dan pengurusan kesihatan populasi, bukan hanya penjagaan pesakit secara individu.

“Dengan pendekatan kesihatan awam yang lebih kukuh, kita dapat mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital,” katanya.

Pendekatan ketiga ialah memperluas perkhidmatan lawatan pakar dari hospital ke klinik kesihatan bagi membolehkan pesakit mendapatkan akses kepada kepakaran perubatan tanpa perlu hadir ke hospital.

Dr Dzulkefly berkata langkah itu membolehkan kepakaran hospital dibawa terus ke Klinik Kesihatan bagi melengkapi peranan Pakar Perubatan Keluarga (FMS) dalam memberikan rawatan kepada pesakit.

Pendekatan keempat pula membabitkan peluasan penggunaan ubat tertentu yang sebelum ini hanya boleh diperoleh di hospital kepada klinik kesihatan menerusi Pakar Perubatan Keluarga yang diberi kuasa untuk mempreskripsi dan membekalkannya.

Menerusi langkah itu, pesakit yang memerlukan ubat berkenaan tidak lagi perlu hadir ke hospital sekiranya bekalan boleh diperoleh di klinik kesihatan melalui FMS.

Beliau berkata KKM turut meneliti pendekatan lain termasuk sistem kemasukan terus (direct entry), perkhidmatan tambah nilai serta penambahbaikan tempoh menunggu di farmasi bagi melancarkan aliran pesakit di fasiliti kesihatan.

Menurutnya, pelaksanaan pendekatan berkenaan sebenarnya telah dimulakan dan akan terus diperluas dengan sebahagian besar klinik kesihatan dijangka memainkan peranan dalam membantu mengurangkan kesesakan hospital.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian tidak boleh menetapkan bahawa semua klinik kesihatan akan melaksanakan pendekatan sama secara serentak kerana pelaksanaannya bergantung kepada kesesuaian fasiliti dan perkhidmatan masing-masing.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata keberkesanan strategi berkenaan akan dipantau menerusi petunjuk prestasi utama (KPI) dan 'scorecard' bagi mengukur pencapaian sebenar, khususnya dari segi pengurangan kesesakan serta tempoh menunggu pesakit.

Katanya, penilaian berdasarkan hasil (outcome-based measurement) penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan negara dan bukan sekadar berdasarkan perancangan atau input yang disediakan.

Kesesakan hospital kerajaan antara cabaran berterusan sistem kesihatan negara berikutan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan rawatan.

KKM mempunyai 152 hospital dan 2,617 Klinik Kesihatan di seluruh negara, justeru pengukuhan perkhidmatan kesihatan primer dilihat sebagai antara pendekatan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan bersesuaian di fasiliti paling hampir, sekali gus mengurangkan beban hospital utama.

Must Watch Video

Advertisement