LAPORAN Statistik Tenaga Buruh yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada minggu lalu telah menunjukkan kadar pengangguran pada bulan Jun 2020 menurun sebanyak 0.4 peratus bulan-ke-bulan kepada 4.9 peratus berbanding paras 5.3 peratus yang dicatat pada Mei yang lalu.

Penurunan kadar pengangguran tersebut membawa kepada dua persoalan berikut: (i) apakah ini bermakna bahawa kadar pertumbuhan ekonomi sukuan kedua (April - Jun) lebih baik berbanding sukuan pertama (Januari - Mac)? dan (ii) adakah ekonomi Malaysia sudah menunjukkan tanda-tanda pemulihan?

Untuk persoalan pertama, indikator gunatenaga dan pengangguran boleh digunakan sebagai petunjuk utama (leading indicator) kepada pertumbuhan ekonomi yang diukur berasaskan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Gambarajah 1 menunjukkan penciptaan gunatenaga di antara Januari sehingga Jun 2020.



Sukuan pertama (Januari - Mac) menunjukkan penggurangan penciptaan gunatenaga sebanyak 53.6 ribu orang akibat daripada kehilangan pekerjaan yang ketara pada bulan Mac. Situasi sukuan kedua (April - Jun) bertambah buruk dengan penggurangan gunatenaga sebanyak 242.2 ribu orang akibat daripada kehilangan pekerjaan yang ketara pada bulan April. Walaubagaimanapun, kadar kehilangan pekerjaan di antara bulan April dan Mei menunjukkan penggurangan dan akhirnya mencatat pertambahan peluang pekerjaan pada bulan Jun.

Berdasarkan trend penciptaan gunatenaga di antara sukuan pertama dan kedua, pertumbuhan ekonomi untuk sukuan kedua dijangka lebih rendah berbanding sukuan pertama. Gambarajah 2 memberikan unjuran KDNK untuk sukuan kedua yang dianggar berdasarkan model ekonomi-makro yang kami bangunkan.



Pada pelaporan pertumbuhan ekonomi yang lepas, pertumbuhan KDNK sukuan pertama 2020 adalah sebanyak 0.7 peratus berbanding pertumbuhan ekonomi sukuan pertama 2019. Kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi sukuan kedua adalah -2.4 peratus berbanding dengan sukuan kedua 2019.

Jawapan kepada persoalan kedua pula adalah memang benar bahawa ekonomi Malaysia telah rebound ke arah pemulihan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi sukuan pertama 2020 adalah -2.0 peratus berbanding sukuan keempat 2019 (rujuk gambarajah 2). Pertumbuhan sukuan kedua 2020 walaupun dijangka negatif tetapi lebih rendah berbanding sukuan pertama 2020 iaitu pada kadar jangkaan -1.8 peratus. Di samping itu, kadar pengangguran yang berkurangan pada Jun 2020 juga jelas menunjukkan pemulihan ekonomi yang sedang berlaku.

Jika operasi aktiviti-aktiviti ekonomi kekal seperti sedia kala dan wabak COVID-19 dapat dikawal, pertumbuhan ekonomi untuk sukuan ketiga dan keempat adalah lebih baik dengan angka pertumbuhan positif. Ini mengambil kira impak ke atas ekonomi hasil suntikan perbelanjaan melalui pakej PRIHATIN dan PENJANA.


* Artikel ditulis Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari dan Prof Dr Muzafar Shah Habibullah dari Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI