Tambahan RM5 juta untuk CCTV, perkukuh keselamatan dan disiplin di sekolah - KPM

KPM turut memperkukuh Jawatankuasa Pemuafakatan sekolah melalui kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, termasuk peranan Pegawai Penghubung Sekolah untuk melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan. - Gambar fail Sinar Harian
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan tambahan RM5 juta bagi tujuan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah terpilih di seluruh negara sebagai langkah segera mempertingkat keselamatan dan mengurangkan risiko kejadian tidak diingini di institusi pendidikan.
KPM memaklumkan, langkah itu adalah sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh kementerian itu bagi memperkukuh keselamatan serta menangani isu disiplin murid di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
"Ia melengkapkan peruntukan awal RM3 juta yang telah diumumkan sebelum ini untuk tujuan sama," menurut KPM dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, sebanyak 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah seluruh negara mulai November 2025, bagi membantu memenuhi keperluan semasa dan memperkukuh aspek psikososial murid.Bagi institusi berasrama penuh, 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP bagi meningkatkan pemantauan keselamatan serta mengurangkan beban tugas warden.
KPM turut memperkukuh Jawatankuasa Pemuafakatan sekolah melalui kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk peranan Pegawai Penghubung Sekolah untuk melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan.
"Dalam masa sama, fungsi Smart Support Team di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan terus diperkasakan bagi menyediakan sokongan psikososial ketika krisis dan guru-guru akan diberikan latihan berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan di sekolah," katanya.
KPM juga menegaskan peranan Pengetua, Guru Besar dan Jawatankuasa Disiplin sekolah akan terus diperkasakan dalam menangani kes-kes disiplin, termasuk kuasa untuk merotan, menggantung atau membuang sekolah mengikut peraturan sedia ada.
Pengetua dan Guru Besar boleh menurunkan kuasa kepada guru-guru tertentu untuk mendisiplinkan murid berdasarkan keperluan, sementara peraturan disiplin murid kini sedang digubal semula.
Selain itu, Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) akan ditambah baik supaya lebih proaktif dalam mengurus kes disiplin dan tindakan susulan, manakala inisiatif 'kotak suara murid' akan diperluas bagi memastikan suara guru dan pelajar diambil kira, selaras dengan advokasi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengenai suara kanak-kanak.
Turut dalam perhatian ialah pemuktamadan Polisi Perlindungan Kanak-Kanak bagi melindungi murid di sekolah, serta kerjasama antara KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memperkukuh program saringan kesihatan mental dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam, termasuk intervensi dan sokongan psikososial berterusan.
"KPM menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan untuk terus bekerjasama bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran yang selamat, sihat dan berdisiplin di setiap institusi pendidikan," menurut KPM.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami