KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM70 juta untuk kempen menangani anti minyak sawit akan meningkatkan lagi tahap kemampanan industri minyak sawit, sekali gus menekankan kepentingan menyokong dan mengekalkan usaha kempen tersebut, menurut Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joseph Tek Choon Yee bagaimanapun berkata persatuan menantikan butiran mengenai insentif cukai untuk mekanisasi dan automasi menggunakan dron dan kenderaan pandu sendiri untuk sektor komoditi tersebut yang merangkumi inisiatif praktikal meliputi operasi huluan.

"MPOA turut menghargai inisiatif sukuk biodiversiti RM1 bilion yang bertujuan untuk meneroka kredit karbon dan potongan cukai untuk aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan, dengan tumpuan kepada penanaman pokok yang akan memberi manfaat kepada penggiat kelapa sawit daripada inisiatif ini," katanya dalam kenyataan semalam.

MPOA turut menyuarakan kebimbangan terhadap hasrat yang tidak dipenuhi untuk levi keuntungan luar biasa (WPL) yang tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan semalam.

Sebelum ini, MPOA telah menggesa kerajaan untuk meneliti cukai jualan negeri apabila kadar levi semasa secara tidak seimbang membebankan penanam kelapa sawit, justeru mengembalikan semula kadar WPL untuk Sabah dan Sarawak kepada 1.5 peratus daripada 3.0 peratus pada masa ini dalam Belanjawan 2024.

Berdasarkan kenaikan kos pengeluaran, MPOA turut memohon kepada kerajaan mengenai semakan semula ambang harga WPL sebanyak RM500 satu tan minyak sawit mentah (MSM) daripada RM3,000 kepada RM3,500 satu tan MSM untuk penanam Semenanjung Malaysia dan daripada RM3,500 kepada RM4,000 satu tan MSM untuk penanam Sabah dan Sarawak.

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dalam kenyataan berkata pengumuman kerajaan untuk meningkatkan paras harga pengaktifan insentif pengeluaran getah kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM400 juta akan meningkatkan permohonan tanam semula dan perusahaan kebun-kebun getah matang kembali aktif pada 2024.

"RISDA amat menghargai inisiatif kerajaan dalam memberikan peruntukan sebanyak RM90 juta kepada RISDA dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang mereka.

"Langkah ini akan membolehkan kepelbagaian pendapatan pekebun kecil dan tidak hanya bergantung kepada sumber getah semata-mata," kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Katanya peruntukan sebanyak RM100 juta dan RM70 juta untuk memperkasa industri sawit melalui program tanam semula dan kelestarian akan memperkasakan lagi penglibatan syarikat-syarikat di bawah RISDA yang bergiat aktif dalam bidang industri sawit negara.

Beliau berkata pihak RISDA juga amat berbangga dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembangunan kaedah penggunaan gas stimulan yang dapat meningkatkan pengeluaran getah.

Melalui peruntukan sebanyak RM10 juta untuk projek rintis ini, katanya ia bakal memberikan nilai tambah kepada inovasi industri getah negara.

Beliau berkata secara keseluruhannya, peruntukan sebanyak RM2.4 bilion kepada FELDA, FELCRA dan RISDA adalah langkah proaktif yang akan memberi manfaat besar kepada pekebun kecil dalam meningkatkan aktiviti agrikomoditi dan sosioekonomi.

-- BERNAMA