Peruntukan lebih kecil untuk pembangunan industri halal negara dalam Belanjawan 2019 berikutan kedudukan kewangan semasa negara yang terhad tidak akan menjejaskan usaha kerajaan untuk mengembangkan sektor berkenaan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata inisiatif untuk mengembangkan industri halal akan ditingkatkan dengan kerjasama daripada negeri-negeri yang memberi penekanan kepada industri halal seperti Selangor dan Pulau Pinang.

"Dengan kerjasama daripada negeri yang telah memulakan usaha ini secara besar-besaran, kita lihat bagaimana kita boleh move the value chain dan bina ekosistem lebih bersepadu bukan sahaja dari segi produk, tetapi daripada sumber untuk membangunkan produk itu juga harus memenuhi istilah dan definisi halal agar ia benar-benar menjadi produk yang halal dan bersih.

"Ini kerana pasaran halal begitu besar bukan sahaja di negara Islam tetapi negara bukan Islam telah menerima produk halal sebagai produk penting untuk diperdagangkan," katanya semasa sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) mengenai kesungguhan kerajaan dalam mengembangkan industri halal negara memandangkan peruntukkannya diturunkan daripada RM1 bilion kepada RM100 juta dalam Belanjawan 2019.

Ketika menjawab soalan asal Reezal Merican berhubung komitmen kerajaan untuk melaksanakan semua resolusi yang dicadangkan sewaktu Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) 2018, Mohamed Azmin berkata sebanyak 63 resolusi merangkumi empat bidang fokus dihasilkan pada kongres yang diadakan 1 Sept lepas.

Jelasnya, sebahagian daripada cadangan resolusi kongres itu telah diambil kira dalam hala tuju, strategi dan inisiatif Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMK11).

Beliau berkata pelaksanaan resolusi akan dijajarkan dengan pelan pelaksanaan dasar KSP RMK11 dengan mengenal pasti kementerian atau agensi untuk menerajui strategi dan inisiatif dengan 'milestone' tertentu bagi memastikan pelaksanaan setiap resolusi berkenaan.

"Kerajaan komited untuk memastikan agenda bumiputera agar terus kekal sebagai agenda nasional.

"Dalam hal ini, Tonggak Dua dalam dokumen KSP RMK11 telah memberi penekanan khusus kepada strategi memperkukuh Komuniti Ekonomi Bumiputera (KEB), termasuk inisiatif memperkukuh keberkesanan institusi dan program, memperkasa pendidikan dan modal insan, meningkat kawalan efektif dan kemampanan dalam pemilikan ekuiti korporat, meningkatkan pemilikan kekayaan serta membina KEB yang berdaya tahan dan mampan," katanya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) berhubung langkah kerajaan dalam menghapuskan amalan 'ali baba', Mohamad Azmin berkata beliau yakin budaya lama itu tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan kontraktor bumiputera.

"Kontraktor bumiputera hari ini bersedia untuk bersaing berdasarkan merit, kemahiran dan kepakaran masing-masing, saya lihat kita ada masa hadapan yang cerah kerana orang Melayu dan bumiputera hari ini sudah cukup bersedia bersaing dalam pasaran terbuka dan memberi penyampaian terbaik untuk meningkatkan produktiviti negara," jelasnya.

-- BERNAMA