MELAKA: Perkembangan teknologi digital dan penggunaan media sosial yang semakin meluas membolehkan pengundi menilai kredibiliti, pengalaman serta keupayaan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk calon yang pertama kali menawarkan diri.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput Datuk Azman Abidin berkata kemudahan akses kepada maklumat menerusi platform digital memberi peluang kepada rakyat untuk meneliti latar belakang dan rekod pencapaian setiap calon sebelum membuat pilihan.
Beliau berkata walaupun beliau dan dua calon lain yang bersaing merebut kerusi berkenaan merupakan muka baharu, pengundi kini mempunyai pelbagai saluran untuk mendapatkan maklumat serta membuat penilaian yang lebih menyeluruh.
"Dari segi rekod, sekarang ini kita zaman media sosial, semua boleh melihat rekod saya, pengalaman yang saya ada dan saya rasa ini akan membantu.
"Sekiranya saya diberikan amanah dan kepercayaan, saya dapat membantu dengan menggunakan pengalaman yang saya ada untuk rakyat Paya Rumput," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Ziarah Kasih di Taman Paya Rumput Permai di sini, yang turut dihadiri Pengarah Komunikasi PH Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Mengulas mengenai momentum awal kempen, Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau bersyukur dengan sambutan positif yang diterima daripada penduduk Paya Rumput sejak memulakan gerak kerja kempen hari ini.
Beliau berharap sokongan yang ditunjukkan penduduk sepanjang tempoh berkempen dapat diterjemahkan kepada undi sekali gus memberikan mandat kepadanya untuk mewakili kawasan berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal dijadualkan pada 10 Nov.
-- BERNAMA