KUALA TERENGGANU: Peta pintar yang membantu pelancong merancang perjalanan dan menerokai Terengganu, telah membawa Point.my meraih Penyertaan Terbaik di Pentas Jual; manakala TerraNode Lite+, iaitu bangku berkuasa solar dengan kemudahan pengecasan peranti, mengungguli Showcase CIPTA sempena Jiwa SME Terengganu 2026.
Pengasas Point.my, Ridhwan Musa berkata, platform yang dibentangkan menerusi Ledakan Digital Marketing itu dibangunkan bagi menghimpunkan maklumat pelancongan Terengganu dalam satu tempat, sekali gus memudahkan pengunjung menemukan destinasi dan perniagaan tempatan.
“Dengan hanya 10 saat, anda boleh buat itinerari yang lengkap sehari di Terengganu,” katanya ketika membentangkan ciri perancangan perjalanan PointGO di Mayang Mall, di sini, pada Sabtu.
Pembentangan itu membawa Ledakan Digital Marketing meraih pengiktirafan Penyertaan Terbaik Pentas Jual dengan hadiah pakej media bernilai RM50,000.
Menurut Ridhwan, persoalan mengenai lokasi makan, tempat menarik dan pilihan pengangkutan menjadi antara keperluan pelancong yang cuba diselesaikan melalui Point.my.
Platform berkenaan menghimpunkan maklumat tarikan pelancongan, penginapan, acara tempatan, pengangkutan serta lokasi pengecas kenderaan elektrik (EV), selain menyediakan ruang penyenaraian untuk peniaga.
Beliau berkata, projek yang dimulakan pada Mei lalu itu telah menarik kira-kira 7,000 pengunjung secara organik dan memperoleh 11 rakan niaga dengan hasil RM3,289 setakat pembentangan berkenaan.
Sambutan awal itu menjadi asas kepada perancangannya untuk memperkukuh promosi, menambah penyertaan peniaga dan mengembangkan perkhidmatan ke seluruh Malaysia.
Sementara itu, wakil Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Mohamad Afsyam Mohamad Fouzi mengungguli Showcase CIPTA yang menghimpunkan lapan peserta menerusi inovasi TerraNode Lite+.
Menurutnya, inovasi berkenaan dibangunkan untuk memperluas kegunaan bangku di ruang awam dengan menggabungkan kemudahan berehat, pengecasan peranti dan reka bentuk yang mengambil kira keselesaan pengguna.
“Kami juga meletakkan pengecasan peranti di Smart Eco Bench ini dan juga mereka bentuk yang ergonomik dan menggunakan bahan lestari dan juga kanopi teduhan,” katanya ketika membentangkan inovasi itu pada Jumaat.
TerraNode Lite+ turut menggunakan tenaga solar dan dilengkapi sistem bantuan suara TeraVoice yang direka untuk menerima arahan pengguna bagi mengaktifkan fungsi tertentu seperti lampu.
Mohamad Afsyam berkata, reka bentuk produk itu turut menyediakan kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU), termasuk pengecasan peranti dan audio untuk membantu pengguna berehat.
“Kita menyediakan tempat pengecasan dan juga tempat untuk mereka mendapatkan ketenangan audio di situ,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, pembangunan inovasi tersebut sebelum ini menerima geran RM40,000 bagi menghasilkan 20 unit untuk kegunaan universiti.
Universiti menjadi pasaran awal yang disasarkan sebelum penawaran diperluas kepada pihak berkuasa tempatan, dengan penyelenggaraan serta penggantian komponen turut menjadi sebahagian daripada model perniagaannya.
Dalam pada itu, Kaprima Dairy Farm menerima pengiktirafan Penyertaan Impak Tinggi Pentas Jual, manakala Bionature Scientific Solution dipilih sebagai penerima Penyertaan Pilihan Khas.
Kedua-duanya masing-masing memperoleh hadiah penerbitan artikel bernilai RM10,000.
Pentas Jual dinilai Ketua Unifi Business Negeri Terengganu, Norashikin Abd Latif; Penolong Kanan Naib Presiden Penyelesaian Kandungan Kreatif dan Komersial Astro AWANI, Cherish Leow; serta Ketua Pegawai Eksekutif Cakna Sdn Bhd, Engku Hairul Nizam Tuan Ahmad.
Bagi Showcase CIPTA, Norashikin turut bergandingan dengan Pengarah dan Ketua Pengarang Astro AWANI, Zaiful Mohd Ariffin serta Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Mukhri Mamat sebagai panel juri.
Kedua-dua segmen menyediakan ruang kepada usahawan dan inovator muda menguji potensi idea melalui pembentangan, maklum balas industri serta peluang pendedahan kepada khalayak lebih luas.
Jiwa SME Terengganu 2026 bertemakan “Ekonomi Kreatif dan Kraftangan” berlangsung pada 11 dan 12 September di Mayang Mall, anjuran Astro AWANI dengan Unifi Business sebagai penaja utama.
Seterusnya, JIWA SME bertemakan Fesyen & Kecantikan bakal diadakan di Paradigm Mall pada 26-27 September ini.
Untuk info lanjut, layari jiwasme.com.my.