Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mendapati India, pasaran gas asli cecair (LNG) keempat terbesar dunia, akan menawarkan potensi besar untuk pertumbuhan syarikat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata justeru itu, Petronas berminat untuk meneroka peluang dalam pasaran LNG India dan akan membuka pejabat perhubungan bagi membantu mengembangkan perniagaannya di negara itu.

"India sentiasa menjadi pasaran penting kepada Petronas memandangkan kita melihat wujud potensi besar untuk berkembang bersama-sama rakan kongsi dan pelanggan kami," katanya dalam kenyataan di sini selepas beberapa majlis untuk rakan kongsi dan pelanggan di Mumbai dan New Delhi.

Beliau berkata dengan pengalaman luas sebagai penggiat menyeluruh LNG bersepadu dan pengeluar LNG ketiga terbesar di dunia ketika ini, Petronas mempunyai reputasi cemerlang sebagai pembekal dipercayai dalam kalangan pelanggan LNG.

Petronas turut mempertingkat skala kemudahan pengeluarannya di Bintulu dan melabur dalam projek baharu.

"Saya juga berbangga dengan kemudahan LNG terapung pertama di dunia milik kami, PFLNG Satu, telah siap awal tahun ini.

"PFLNG Satu merupakan pengubah sebenar dalam industri, yang membolehkan kami menjana keuntungan daripada aset gas sisa dan kini ia sedang menjalani pentauliahan. Kargo pertama dijangka pada suku pertama 2017," katanya.

Sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan, Petronas akan terus melabur untuk meningkatkan kapasitinya dalam produk kimia dan bertapis, selain menambah baik penawaran produk yang akan termasuk bahan kimia berbeza dan khusus kepada pelanggan Petronas di seluruh dunia.

Ini akan disokong oleh projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) yang menepati jadual untuk memulakan operasi komersial pada suku keempat 2016.

SAMUR akan mengeluarkan output tahunan yang dianggarkan 2.6 juta tan metrik, sekali gus menjadikan Petronas sebagai pengeluar urea berbutir kedua terbesar di Asia Tenggara.

Petronas juga mula melaksanakan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Ia merupakan pelaburan hiliran bersepadu terbesar tunggal dalam negara setakat ini, yang dijadual memulakan operasi pada 2019. -- BERNAMA