Skip to main content

Bisnes

Petronas pantau rapat perkembangan di Asia Barat

81735550314_Petronas.jpg
Petronas telah memperluas operasinya dengan ketara di Asia Barat sejak beberapa tahun lepas sebagai operator utama di UAE dan Oman selain mengekalkan pengeluaran di Iraq.

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memantau dengan teliti perkembangan di beberapa kawasan di Asia Barat dan kekal komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja dan keluarga serta kontraktor yang menyokong operasinya di seluruh rantau itu.

Syarikat minyak nasional itu memaklumkan sedang bekerjasama secara aktif dengan Kementerian Luar, Kedutaan Malaysia, kedutaan lain, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan untuk menilai situasi yang sedang berlaku dan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya.

Advertisement

"Setakat ini, tiada laporan mengenai sebarang ancaman langsung kepada kakitangan atau aset Petronas, dan operasi diteruskan seperti biasa," katanya dalam maklum balas melalui emel kepada Bernama.

Petronas telah memperluas operasinya dengan ketara di Asia Barat sejak beberapa tahun lepas sebagai operator utama di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman selain mengekalkan pengeluaran di Iraq.

Di Oman, anak syarikat milik penuh Petronas, PC Oman Ventures Ltd telah memeterai perjanjian konsesi dengan Kerajaan Kesultanan Oman serta OQ Exploration and Production Batinah Offshore LLC sebagai rakan kongsi bagi cari gali minyak dan gas di Blok 18.

Meliputi kawasan lebih 21,000 kilometer persegi, Blok 18 adalah kawasan cari gali luar pesisir yang besar di Timur Laut Oman, menawarkan potensi cari gali baharu yang signifikan, melibatkan pelbagai keadaan geologi, daripada perairan cetek sehingga perairan sangat dalam.

Selain itu, pada 2024, Petronas memenangi konsesi cari gali minyak dan gas bagi Blok Daratan 2 yang terletak di wilayah Al Dhafra, Abu Dhabi.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent melonjak 4.35 peratus kepada US$81.12 setong.

-- BERNAMA

Must Watch Video