KUCHING: Petroleum Sarawak Bhd (Petros) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kumpulan Posco Korea Selatan untuk bekerjasama dalam pembangunan perniagaan penggunaan dan penyimpanan tangkapan karbon (CCUS) di Sarawak.

Dalam satu kenyataan semalam, Petros berkata MoU itu ditandatangani dengan tiga anak syarikat Posco, iaitu Posco Holdings, Posco International dan Posco Engineering and Construction Co Ltd.

Ia berkata kajian bersama akan dijalankan ke atas tapak penyimpanan karbon yang berpotensi di Sarawak dan pengangkutan untuk membawa karbon dioksida (CO2) dari Korea ke hab CCS di Sarawak.

"Kerjasama itu juga termasuk suntikan dan penyerapan CO2, penyelesaian untuk mengurangkan, mengurangkan dan/atau mengelakkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang timbul daripada penangkapan karbon itu dan menilai kebolehlaksanaan teknikal serta komersial perniagaan mengenainya," katanya.

Petros diwakili oleh Pengerusinya Tan Sri Hamid Bugo, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Janin Girie dan Pemangku Naib Presiden Kanan (Pengurusan Sumber Sarawak) Anyi Ngau manakala Posco diwakili oleh Naib Presiden Eksekutif POSCO Holdings dan Ketua Unit Perniagaan Hidrogen Cho Ju-Ik .

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Karbon | Kerjasama Sarawak dan Korea Selatan bangunkan CCUS

Abang Johari dalam ucapannya pada majlis menandatangani MoU itu berkata perjanjian itu akan menjadi hala tuju yang betul untuk mengukuhkan lagi hubungan antara Sarawak dan Korea Selatan dalam mewujudkan masa depan tenaga lestari.

Beliau berkata adalah penting untuk melibatkan diri dalam proses pelbagai hala bagi menangani perubahan iklim global yang membahayakan kesejahteraan manusia dan planet ini kerana beberapa tahun akan datang adalah kritikal untuk bertindak demi masa depan yang mampan untuk semua.

"Sekiranya ditangguhkan ia akan mencetuskan kesan perubahan iklim yang teruk sehingga dunia kita tidak dapat dikenali.

"Mengubah haluan memerlukan usaha segera, bercita-cita tinggi dan bersepadu untuk mengurangkan pelepasan karbon," katanya.

Beliau berkata inisiatif Sarawak dalam CCUS bertujuan untuk menyokong perniagaan tenaga hijau seiring dengan pergerakan kewangan global ke arah rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Kerajaan negeri Sarawak juga telah mengemas kini Kanun Tanah Negeri dan Ordinan Perhutanan baru-baru ini dan membangunkan Piawaian Tangkapan dan Penyimpanan Karbon untuk turut memasukkan undang-undang yang mengawal selia peluang perniagaan baharu tersebut," katanya.

-- BERNAMA