KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa sudah mengeluarkan arahan pembekuan operasi dan semua akaun bank Caely Group of Companies.

Caely Holdings Berhad dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, pengeluar pakaian dalam itu menjangkakan kesan ke atas aspek kewangan dan operasi kumpulan susulan perintah pembekuan itu.

Bagaimanapun, pihak pegurusan tidak pasti kesan kewangan dan operasi penuh buat masa sekarang.

"Lembaga Pengarah tidak mengetahui sebarang salah laku dan akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa mengenai isu berkenaan.

"Syarikat akan membuat pengumuman yang perlu kepada Bursa Malaysia apabila terdapat perkembangan lanjut mengenai perkara itu," katanya.

Sementara itu, dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Caely berkata, dagangan sahamnya dihentikan pada 2.30 petang Isnin dan dagangan kemudiannya disambung semula pada jam 3.30 petang hari yang sama, lapor Berita Harian.

Caely bermula dengan perniagaan jualan langsung pakaian dalam wanita secara berskala kecil.

Syarikat itu kemudiannya berkembang sehingga disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan mempunyai kilang dan bangunan sendiri terletak di Teluk Intan, Perak.

Destinasi eksport utama Caely untuk produk pakaian dalam di bawah pengeluar barangan tulen (OEM) ketika ini ialah Jerman, Amerika Syarikat dan Kanada, namun, baru-baru ini pihaknya mula mendapat lebih banyak pertanyaan daripada syarikat di Turki, Perancis dan Australia.

Caely, yang ditubuhkan pada 1986 turut memperuntukkan RM5 juta sebagai modal kerja pada Oktober 2021 untuk mempelbagaikan produk termasuk pengeluaran pelitup muka fabrik.

Ia bercadang memindahkan pembuatan pakaian dalam ke Indonesia manakala kilang di Malaysia akan menumpukan pada pengeluaran pelitup muka dan pakaian lain. - DagangNews.com