KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan hari ini pada dasarnya bersetuju untuk membangunkan Platform Acara Perdagangan Bersepadu khusus untuk meningkatkan daya saing perdagangan negara dan nilai eksport secara digital selaras dengan landskap dagangan baharu dalam era digitalisasi.

Perdana Menteri berkata ia antara keputusan yang dicapai pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikannya hari ini bagi membincangkan strategi memulihkan dan mengukuhkan ekonomi negara selepas COVID-19, terutama dengan meningkatkan usaha bagi memudahkan perniagaan dan mengukuhkan perdagangan Malaysia.

"Sebagai persediaan menghadapi fasa endemik dan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi global yang pesat, usaha mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, berdaya saing serta meningkatkan produktiviti perlu menjadi agenda utama di setiap peringkat pentadbiran kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed selain pegawai kanan kerajaan serta wakil perniagaan yang mewakili industri yang terlibat.

Mesyuarat itu juga pada dasarnya bersetuju untuk mewujudkan Platform Maklumat Tunggal, yang merupakan portal komprehensif merangkumi semua maklumat merentasi rantaian nilai eksport untuk memudahkan syarikat Malaysia terlibat secara aktif di peringkat global.

Inisiatif #MyMudah juga akan diperkasakan melalui penubuhan unit #MyMudah di semua kementerian dan agensi persekutuan.

Fungsi unit ini adalah untuk menjalankan kajian kawal selia secara terancang untuk memudahkan persekitaran perniagaan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing.

“Unit sama juga dicadang ditubuhkan di peringkat kerajaan negeri, PBT dan persatuan industri untuk bersama-sama memudahkan operasi perniagaan.

“Fungsi unit ini adalah untuk menjalankan semakan kawal selia secara terancang bagi memudahkan persekitaran perniagaan bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing,” katanya.