IPOH: Polis mengesahkan seorang pesara kerugian RM132,590 hasil jualan rumah miliknya selepas terperdaya dengan penipuan pelaburan pertukaran mata wang dalam talian tidak wujud pada 4 Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Chua Kok Lian berkata, mangsa lelaki berusia 73 tahun membuat laporan polis semalam.
“Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa diperkenalkan dengan satu skim pelaburan pertukaran mata wang asing oleh seorang kenalan yang menjanjikan keuntungan tinggi. Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu mula menyertai skim pelaburan berkenaan.
“Mangsa membuat pelaburan secara berperingkat dalam tempoh kira-kira dua bulan melibatkan jumlah keseluruhan RM132,590,” katanya dalam kenyataan.
Chua berkata, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila sistem pelaburan berkenaan tidak lagi dapat diakses pada 14 Sept dan mangsa juga tidak menerima sebarang keuntungan mahupun pemulangan modal seperti yang dijanjikan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kegiatan penipuan itu.
-- BERNAMA