Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan terus mempertingkatkan pematuhan syariah dalam urusan pelaburannya dan mempertingkatkan instrumen pelaburan kewangan Islam untuk membantu masyarakat menambah pelaburan mereka.

Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam kenyataan pada Jumaat berkata justeru, beliau juga berharap masyarakat Islam akan terus mempertingkatkan pelaburan mereka dalam pelbagai unit-unit saham amanah yang diuruskan PNB.

Katanya, pelaburan masyarakat Islam dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN), juga dibenarkan dari segi syariah.

Dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 14-15 Ogos lepas, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang telah mengeluarkan fatwa bahawa masyarakat Islam harus dan dibolehkan melabur dalam ASB dan ASN, selaras dengan Fatwa Kebangsaan terhadap perkara tersebut yang dikeluarkan pada 2008.

Fatwa Negeri Selangor juga telah memutuskan perkara yang sama pada April lepas.

"Ini bermakna pelaburan ASB/ASN adalah dibenarkan dari segi syariah. Dengan perkembangan terbaru ini, saya berharap masyarakat Islam akan terus mempertingkatkan pelaburan mereka dalam pelbagai unit-unit saham amanah yang diuruskan oleh PNB/ASNB," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, bersempena sambutan Maal Hijrah 1439H/2017M, Wahid berkata umat Islam perlu bersikap membina dan memberi tumpuan kepada perkara yang menyatukan masyarakat dalam usaha membangunkan negara.

Selain itu, katanya, rakyat perlu melaksanakan tanggungjawab dengan cekap, berintegriti, bersikap rendah diri, saling menghormati serta menjauhi fitnah dan tidak menyebarkan maklumat tanpa usul periksa.

-- BERNAMA