Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.20 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3), bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2015.

Agihan pendapatan ini kekal sama dengan kadar yang diagihkan pada tahun lepas.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata pengagihan pendapatan tahun ini membabitkan pembayaran sebanyak RM67.28 juta, atau 31.3 peratus lebih tinggi berbanding RM51.24 juta yang dibayar pada tahun lepas.

"Kadar pengagihan pendapatan ASN 3 ini berpatutan jika dibandingkan dengan instrumen-instrumen pelaburan lain yang sesuai dijadikan perbandingan," katanya pada sidang media semasa mengumumkan agihan itu hari ini.

Beliau berkata prestasi ASN 3 adalah berpatutan memandangkan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI mencatatkan penurunan 8.7 peratus, dalam tempoh tinjauan (November 2014 - November 2015).

Beliau berkata sehingga 20 November 2015, tabung ASN 3 memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM60.06 juta, dengan pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM21.22 juta atau 35.3 peratus, manakala keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM18.98 juta atau 31.6 peratus.

Pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen-instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan pula menyumbang sebanyak RM19.86 juta atau 33.1 peratus kepada jumlah pendapatan kasar tersebut.

Pengagihan pendapatan ini akan memanfaatkan seramai 37,121 pemegang unit yang melanggan 1.085 bilion unit ASN 3, kata Ahmad Sarji.

Pembayaran pengagihan pendapatan akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 Disember 2015, berdasarkan nilai aset bersih ASN pada 30 November 2015.

Sementara itu, bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASN 3 menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP yang berkenaan.

Semua urus niaga bagi ASN 3 di pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB ditangguhkan mulai 20 November sehingga 30 November bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan ASN mulai 1 Disember 2015.

Menara Warisan

Sementara itu PNB hari ini mengesahkan pelantikan Samsung C&T, sebuah syarikat hartanah dari Korea Selatan, sebagai kontraktor pembinaan Menara Warisan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata nilai bidaan terbabit berjumlah RM3.4 bilion.

"Samsung C&T, dengan rangkaian kerjasama strategik bersama UEM Group Bhd, telah dipilih. Nilai bidaan mereka sebanyak RM3.4 bilion, tidak termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP)," katanya.

Laporan sebelum ini menyebut Menara Warisan yang membabitkan pembangunan bangunan pencakar langit setinggi 118 tingkat di Kuala Lumpur, dengan keluasan lantai 67.39 hektar, bakal menempatkan ruangan pejabat untuk syarikat-syarikat korporat serta hotel.