Perbadanan Nasional Berhad (PNS) menyediakan pembiayaan francais berjumlah RM60 juta bagi membangunkan industri francais di Malaysia sepanjang 2016.

Jumlah ini dijangka memanfaatkan 220 peserta sektor francais dalam mengukuhkan aktiviti perniagaan.

RM38 juta diperuntukkan bagi 140 usahawan francais dan RM1 juta bagi 40 usahawan BIT pra-francaisi.

Manakala, RM20 juta diperuntukkan bagi 20 syarikat francaisor dan RM1 juta bagi 20 syarikat BIT pra-francaisor.

PNS juga memperuntukkan RM100 juta bagi pelaburan ekuiti dan dijangka melabur dalam dua syarikat jenama francais.

Selain itu, PNS melalui pembiayaan kontrak (Ikhtiar Factoring) akan membiayai 200 syarikat Bumiputera dengan jumlah RM200 juta.

Akademi PNS yang ditubuhkan pada 2009 kini akan melancarkan pusat latihan PNS, Serene Resort Training Centre (SRTC) di Janda Baik.

Akademi ini dijangka memberi latihan keusahawanan francais kepada 3000 peserta sepanjang 2016.

Sementara itu, PNS bakal berkolaborasi dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Menurut, Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Zainol Khodki Shahabudin, kolaborasi ini bagi menggalakkan masyarakat Bumiputera menceburi bidang keusahawanan.

Tambah beliau, susulan keadaan ekonomi yang tidak menentu, perniagaan boleh menjadi sumber pendapatan tambahan.

“DPMM akan membantu PNS mengenal pasti calon-calon yang layak bagi pembiayaan perniagaan” kata Kamarulzaman.

PNS ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan, MOF Incorporated (MOF Inc) untuk membangunkan sektor francais di Malaysia.