Pos Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi kepada RM50.09 juta bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Mac, 2013 daripada RM44.341 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lepas.

Perolehan bagi tempoh tiga bulan juga meningkat kepada RM344.486 juta daripada RM308.045 juta sebelumnya.

Bagi tahun kewangan keseluruhan yang berakhir pada 31 Mac, 2013, Pos Malaysia mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi pada RM191.869 juta berbanding RM151.503 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Perolehan bagi tempoh 12 bulan juga naik kepada RM1.269 bilion daripada RM1.177 bilion sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pos Malaysia berkata segmen perniagaan mel mencatatkan keuntungan sebanyak RM137.911 juta, menjadikannya penyumbang terbesar kepada keuntungan syarikat bagi tahun fiskal lepas.

Perniagaan kourier syarikat juga menunjukkan peningkatan dalam keuntungan kepada RM55.191 juta.

Perniagaan runcitnya bagaimanapun mengalami kerugian sebanyak RM42.408 juta.

"Segmen runcit menunjukkan kerugian operasi yang lebih tinggi sebanyak RM5 juta terutamanya disebabkan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, kesan kenaikan gaji serta pelunasan dan susut nilai lebih tinggi meskipun komisen yang diterima meningkat," kata Pos Malaysia.

Mengenai masa depan, Pos Malaysia meninjau untuk memanfaatkan keadaan ekonomi global yang bertambah baik serta kemajuan dan kebingkasan ekonomi Malaysia.

"Berdasarkan permintaan doemstik yang kukuh, segmen perniagaan kourier Pos Malaysia terus mencatatkan prestasi yang baik yang menyaksikan kenaikan dalam perolehan dan margin yang bertambah baik semasa tahun kewangan lepas," katanya.