PUTRAJAYA: Trend pemulihan ekonomi Malaysia diunjur berterusan sehingga ke tahun 2022, menurut Kenyataan Pra-Bajet (KPB) yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.

Kementerian itu berkata, unjuran itu dibuat selepas mengambil kira faktor-faktor yang menyokong pemulihan ekonomi bagi tahun 2021, khususnya pembukaan semula sektor ekonomi dan aktiviti sosial pada penghujung tahun dan permintaan luar yang terus kukuh.

Jelas MOF lagi, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia 2022 berkembang sebanyak 6.0 peratus, manakala Bank Dunia pula sebanyak 5.0 peratus, kembali kepada trend pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan dalam tempoh prapandemik.

“Dari sudut penawaran, sektor pekhidmatan dan pembuatan dijangka terus memacu pertumbuhan ekonomi berikutan normalisasi aktiviti ekonomi sejajar dengan kejayaan program vaksinasi kebangsaan.

“Di samping itu, pelaksanaan projek-projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi akan menyokong sentimen pelaburan. Peningkatan permintaan luar yang berterusan serta pemulihan harga komoditi dijangka turut memacu aktiviti pengeluaran dalam semua sektor ekonomi,” menurut kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, unjuran kadar pertumbuhan KDNK bagi keseluruhan tahun 2021 telah disemak semula kepada antara 3.0 peratus hingga 4.0 peratus seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 13 Ogos 2021.

Terdahulu, kementerian itu berkata, penerbitan KPB merupakan salah satu usaha penambahbaikan proses penyediaan bajet tahunan.

MOF berkata, langkah itu bertepatan dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa, iaitu KPB diterbitkan bagi meningkatkan ketelusan dalam proses merangka inisiatif bajet tahunan.

Dalam pada itu Kementerian berkata, aktiviti ekonomi yang dijangka lebih cergas akan memulihkan sentimen pengguna berikutan prospek pendapatan yang semakin baik.

Pasaran buruh dijangka kembali pulih pada 2022 walaupun pada tahap yang lebih sederhana berbanding prapandemik, seiring dengan pembukaan semula sektor ekonomi berikutan pencapaian imuniti kelompok.

“Bagaimanapun, masih terdapat beberapa risiko kepada prospek pertumbuhan ekonomi negara, iaitu antara lain kemunculan varian baharu COVID-19 yang boleh menjejaskan kapasiti sistem kesihatan dan memaksa kerajaan untuk melanjutkan langkah kawalan pergerakan…

“…serta menangguhkan pembukaan sektor ekonomi, pemulihan pasaran buruh yang lebih perlahan serta ketidaktentuan dasar yang boleh menjejaskan sentimen pelaburan,” menurut kementerian itu lagi.