Presiden Marcos undang pelabur Malaysia teroka peluang di Mindanao

Marcos menyifatkan Mindanao sebagai "tanah yang dijanjikan", namun beliau mengakui potensi besar rantau itu selama ini belum dimanfaatkan sepenuhnya akibat konflik berlarutan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. berkata Mindanao kini muncul sebagai destinasi pelaburan yang menjanjikan, dengan minat kukuh termasuk dari Malaysia untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi seiring keamanan dan kestabilan yang semakin kukuh di selatan Filipina.
Dengan pilihan raya parlimen pertama bagi Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) dijadual berlangsung pada 26 Mac tahun depan, Marcos menyifatkan pulau di selatan Filipina itu sebagai "tanah yang dijanjikan."
Namun beliau mengakui potensi besar rantau itu selama ini belum dimanfaatkan sepenuhnya akibat konflik yang berlarutan.
"Kami kini sedang merancang pelaksanaan pilihan raya parlimen bagi BARMM... Ini merupakan langkah besar kerana ia belum pernah diadakan sebelum ini.
"Saya percaya apabila ia berjaya dilaksanakan, akan ada banyak tawaran pelaburan yang masuk," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
Marcos berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir pada Selasa.
Beliau berkata keamanan di wilayah selatan itu telah mengembalikan keyakinan pelabur, dengan Malaysia, Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) antara pihak yang menyokong transformasi ekonomi Mindanao menerusi projek infrastruktur, pertanian dan pendidikan.
"Mereka mengemukakan pelbagai tawaran penting untuk membantu membangunkan ekonomi sebaik sahaja parlimen dipilih secara rasmi.
"Ketika ini masih ditadbir oleh pihak berkuasa peralihan, tetapi apabila kita beralih kepada parlimen pilihan rakyat, peluang untuk memanfaatkan potensi ini akan lebih luas. Kami amat menantikan saat itu," katanya.
Sebagai wilayah pengeluar makanan utama Filipina, Mindanao merangkumi 36 peratus kawasan pertanian negara dan menyumbang 42 peratus daripada keseluruhan perdagangan makanan, dengan hasil utama termasuk pisang, kelapa, koko, kopi dan tuna.
Media melaporkan bahawa ekonomi Mindanao kini bersedia untuk dimanfaatkan selepas tokoh perniagaan Malaysia menunjukkan minat tinggi untuk melabur dalam pelbagai sektor berpotensi di pulau itu, susulan misi perdagangan dan pelaburan berprofil tinggi yang diketuai oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao (MinDA) minggu lalu.
Sesi Rangkaian Perniagaan Filipina-Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur pada 23 Okt menarik penyertaan tokoh korporat dan pelabur utama Malaysia yang berminat meneroka potensi Mindanao sebagai hab baharu dalam bidang perniagaan pertanian, pembangunan industri halal, infrastruktur dan tenaga bersih.
Menurut data daripada Observatory of Economic Complexity (OEC), Malaysia mencatat lebihan dagangan sebanyak RM1.37 bilion dengan Filipina pada Ogos 2025, dengan nilai eksport berjumlah RM2.06 bilion berbanding import sebanyak RM689 juta.
Eksport utama Malaysia ke Filipina terdiri daripada litar bersepadu (RM341 juta), minyak sawit (RM245 juta) dan petroleum ditapis (RM101 juta).
Sementara itu, import utama Malaysia dari Filipina ialah litar bersepadu (RM225 juta), biji koko (RM32.8 juta) dan bateri elektrik (RM29.1 juta).
Menurut data sama, eksport Filipina ke Malaysia meningkat 10.3 peratus tahun ke tahun kepada AS$226 juta pada Ogos 2025, berbanding AS$204 juta pada bulan sama tahun sebelumnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


