Prestasi ringgit: Disiplin fiskal, penyasaran subsidi beri kesan positif - PM

Anwar turut umum pencapaian penting apabila Malaysia mencatat lebihan fiskal bagi suku ketiga 2025. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa pelaksanaan dasar-dasar ekonomi yang lebih tersusun, termasuk penyasaran subsidi dan pengurusan fiskal yang berdisiplin, telah memberi kesan ketara kepada ekonomi negara serta pengukuhan ringgit, yang kini menunjukkan antara prestasi terbaik di Asia.
Ringkasan AI
- Pelaksanaan dasar-dasar ekonomi yang tersusun termasuk penyasaran subsidi dan pengurusan fiskal berdisiplin memberi kesan positif kepada ekonomi negara serta mengukuhkan ringgit Malaysia, menempatkannya sebagai salah satu mata wang terbaik di Asia.
- Langkah penyasaran subsidi, terutamanya subsidi petrol RON95, telah meningkatkan keyakinan pelabur dan memastikan bantuan kerajaan disalurkan efektif kepada golongan yang memerlukan, mendapat sambutan positif daripada rakyat secara keseluruhan.
- Malaysia mencatat lebihan fiskal bagi suku ketiga 2025 sebanyak RM0.7 bilion, pertama kali dalam 14 tahun, disokong oleh imbangan akaun semasa yang positif pada kadar 12.2 peratus, memperkukuhkan keyakinan serantau dan global terhadap negara serta menyumbang kepada pengukuhan ringgit.
“Walaupun ada segelintir yang kurang berpuas hati, tetapi sambutan rakyat secara keseluruhan amat positif,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau turut mengumumkan pencapaian penting apabila Malaysia mencatat lebihan fiskal bagi suku ketiga 2025, buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun.
Lebihan sektor perkhidmatan sebanyak RM0.7 bilion itu disokong oleh kedudukan imbangan akaun semasa yang kekal positif pada kadar 12.2 peratus.
Perkembangan ini memperkukuh keyakinan terhadap Malaysia di peringkat serantau dan global, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan ringgit.
“Defisit kita sebelum ini memang menjadi masalah, tetapi dengan disiplin fiskal dan pengurusan ekonomi yang tuntas, kita akhirnya dapat mencatat lebihan.
"Ini bukan mudah kerana pada masa sama, kita meningkatkan perbelanjaan untuk pembangunan, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


