Penyelidikan dan pembangunan inovasi baharu telah menyelamatkan syarikat kosmetik dan penjagaan kesihatan untuk berdepan saingan dengan produk import khususnya dalam memenuhi permintaan ketika pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif AFCL BioScience Sdn Bhd, Anita Mohamad berkata, pihaknya berdepan cabaran untuk membina kepercayaan pengguna terhadap keselamatan produk di tengah-tengah kebimbangan penularan COVID-19.

Ia sekali gus memaksa syarikat tersebut mencipta formula baharu dalam penghasilan produk.

“Namun begitu PKP telah mengajar dan memaksa kami mengeluarkan produk berkualiti yang setimpal dan mengikut standard oleh Kementerian Kesihatan (KKM), dan ini telah membuka lebih banyak peluang kepada syarikat.

“Atas sebab permintaan yang sangat tinggi ini, pihak kami telah mengambil keputusan untuk menambah lebih banyak kakitangan terutamanya melibatkan pemasaran kerana kita tahu sejak PKP kita mempunyai halangan dari segi pergerakan dan memerlukan input teknologi di dalam menyampaikan apakah perniagaan yang kami jalankan.

“Kami banyak mengikut formula-formula yang dikongsi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kami juga mempunyai teknik sendiri untuk memeriksa peratusan alkohol yang digunakan dalam pembuatan bahan pembasmi kuman,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Anita berkata permintaan terhadap produk penjagaan kesihatan melonjak lebih 50 kali ganda sejak pelaksanaan PKP pada Mac lalu.

Selain itu, jelas beliau, pihaknya turut menubuhkan platform pasaran untuk membantu golongan belia dan graduan menjana pendapatan serta penduduk setempat memasarkan produk pertanian.

“Memandangkan masa PKP saya lihat berlaku banyak lambakan hasil pertanian dan hasil laut, jadi kami wujudkan ‘market place’ khas untuk jual produk-produk basah yang dijual secara dalam talian dan dihantar terus ke pengguna.

“Alhamdulillah, dalam tempoh tiga bulan (sejak platform tersebut dibangunkan), sebanyak 20,000 jualan setiap bulan terjual,” katanya.

Dalam pada itu, Anita memaklumkan syarikatnya merancang untuk menambah sekurang-kurangnya 15 lagi pekerja dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, syarikat itu turut menikmati subsidi upah yang disalurkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN).

AFCL merupakan kilang kosmetik pertama di Sabah yang mendapat pengiktirafan Amalan Perkilangan Baik (GMP) daripada KKM.

Antara produk yang dihasilkan oleh syarikat tersebut termasuk sabun pencuci tangan, cecair pembasmi kuman, losen dan syampu.