KUALA LUMPUR: Majlis Getah Malaysia (MRC) mendapati masih ada ruang untuk eksport produk tayar Malaysia berkembang memandangkan ia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 6% kepada RM883.2 juta bagi separuh pertama tahun ini berbanding RM832.8 juta pada 2021.

Bagi tempoh itu, tiga destinasi eksport utama bagi produk tayar ialah Amerika Syarikat dengan peningkatan 14.4% kepada RM403.3 juta, Brazil (36.9% kepada RM104.7 juta) dan Thailand (25% kepada RM44.6 juta).

Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad berkata, MRC kini memberi tumpuan kepada pelaburan baharu, kemajuan teknologi dan produk yang lebih hijau untuk mengembangkan eksport.

“Industri tayar akan mendapat faedah daripada kemajuan teknologi, proses pengeluaran mesra alam, penggunaan dan juga rawatan tayar akhir hayat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat seperti dilapor Bernama.

Secara keseluruhan, eksport keluaran getah Malaysia berjumlah RM15.63 bilion pada separuh pertama 2022, lebih rendah berbanding RM39.83 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, eksport getah pada tempoh itu meningkat 1.01% kepada RM4.61 bilion daripada RM4.56 bilion tahun sebelumnya.

Produk-produk lateks yang lain (bukan sarung tangan) menunjukkan pengembangan positif sebanyak 35.5% kepada RM1.23 bilion bagi tempoh itu berbanding RM907 juta pada separuh pertama 2021, berikutan permintaan tinggi terhadap produk seperti tiub kateter, produk busa, kondom dan mainan getah.

Produk busa terutamanya tilam lateks merekodkan peningkatan tertinggi pada 182.4% pada separuh pertama tahun ini kepada RM202.5 juta daripada RM71.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara itu, Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengumumkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) diaktifkan bagi pekebun kecil di Sabah pada Ogos tetapi tidak diaktifkan untuk Semenanjung dan Sarawak.

Menurut LGM, harga purata peringkat ladang bagi ‘cuplump’ atau getah sekerap pada Ogos di Sabah ialah RM2.30 sekilogram, dan bayaran oleh IPG ialah 20 sen sekilogram bagi 50% kandungan getah kering (KGK) dan 40 sen per kilo bagi 100% KGK. - DagangNews.com