SEPANG: Program penggantian 'aerotrain' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka selesai menjelang 2025, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengarah Urusan Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata program itu merangkumi sembilan buah 'aerotrain' bernilai kira-kira RM700 juta dan akan dilaksanakan dalam dua fasa membabitkan kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan.

"Aerotrain baharu ini akan mempunyai sistem yang mantap, reka bentuk fleksibel bagi pertumbuhan masa depan dan ciri-ciri baharu untuk keselesaan yang lebih besar.

"Ia boleh membawa 90 penumpang setiap gerabak, 270 penumpang setiap set kereta api dan 5,400 penumpang sejam.

"Kerja-kerja reka bentuk yang bermula pada Mac 2022 dan akan berjalan sehingga Mac 2023, bermaksud apabila penglibatan pelbagai pihak berkepentingan dijalankan untuk memastikan sistem aerotrain baharu ini memenuhi piawaian pengangkutan serta keselamatan tempatan dan antarabangsa, manakala pembinaan aerotrain baharu akan bermula dari Mac 2023 hingga Mac 2025," katanya dalam taklimat media di sini pada Isnin.

Iskandar berkata dalam tempoh peralihan selama tiga tahun, 'aerotrain' sekarang akan berjalan mengikut jadual yang terhad bagi membolehkan rejim penyelenggaraan yang lebih mantap kerana keadaannya yang semakin tua, selain memudahkan program penggantian.

Perkhidmatan bas yang dipertingkatkan sedang dilaksanakan bagi memudahkan pergerakan penumpang antara bangunan terminal utama dengan bangunan satelit di KLIA.

"Kami memohon pengertian dan kesabaran orang ramai buat masa ini kerana akan ada sedikit cabaran kepada penumpang.

"Untuk meminimumkan sebarang kesulitan, kami telah menambah baik perkhidmatan bas bagi memudahkan pergerakan penumpang," katanya.

Ditanya mengapa MAHB memutuskan untuk memulakan program penggantian itu pada tahun ini dan bukan lebih awal, Iskandar berkata ia bukan satu keputusan yang mudah dibuat memandangkan banyak proses yang perlu dilalui.

"Kita perlu dengar daripada setiap pihak berkepentingan, kita perlu memastikan bahawa teknologi yang dipilih adalah teknologi yang betul.

"Kita juga perlu menentukan bahawa model pembiayaannya adalah model yang terbaik," katanya.

Iskandar berkata sejajar dengan unjuran Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) bahawa jumlah penumpang keseluruhan akan melebihi paras sebelum pandemik iaitu empat bilion pada 2024, MAHB bersedia untuk mengendalikan permintaan penumpang yang kukuh di KLIA menerusi program penggantian 'aerotrain'.

Sementara itu, Pengerusi MAHB Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata sistem 'aerotrain' semasa telah beroperasi sejak 24 tahun lepas iaitu apabila KLIA dibuka pada 1998.

"Kita bukan sahaja sekadar menggantikan kereta api tetapi keseluruhan sistem landasan supaya penumpang dapat mengalami perkhidmatan aerotrain moden yang diperbaharui apabila mereka bergerak di lapangan terbang.

"Ini juga akan meningkatkan reputasi KLIA sebagai salah satu lapangan terbang terbaik di dunia," katanya.

-- BERNAMA