KUALA LUMPUR: Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) sepanjang 192 kilometer dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun depan. 

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Construction (Rail Division), Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, projek mega itu kini sudah memasuki fasa akhir dengan kira-kira 85 peratus kerja-kerja pembinaan selesai.

Katanya, apabila rel berkembar tersebut siap dibina nanti, ia bakal memanfaatkan komuniti setempat dan meningkatkan ekonomi. 

"Ia terdiri daripada 11 stesen dan untuk pekan-pekan kecil yang ada di Johor, stesen ini dianggap sebagai mercu tanda bagi kawasan tersebut.

"Selain itu, kemudahan yang bakal tersedia disekitarnya juga dapat memanfaatkan ramai orang. Antaranya bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan, akan lebih mudah untuk ke mana-mana sahaja selepas ini. 

"Ia juga membolehkan lebih banyak perniagaan dibuka untuk pelbagai kelompok masyarakat dan memudahkan mereka ke bandar-bandar besar," katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran YTL Construction, pada Jumaat. 

Dalam pada itu, katanya, tren yang berkuasa 25,000 voltan itu mampu bergerak selaju 140 kilometer sejam, dengan anggaran masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral hanya tiga jam 30 minit. 

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya juga bakal menawarkan pakej pengembaraan baharu dari Asia ke Eropah dengan menggunakan perkhidmatan kereta api. 

Pakej itu meliputi perjalanan kira-kira 18,755 kilometer yang bermula dari Johor sehingga London yang akan melalui beberapa stesen utama termasuk di Bangkok, Beijing dan Mongolia.