Prospek pelaburan Malaysia kekal cerah meskipun pertumbuhan ekonomi dunia tidak memberangsangkan, kata Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI).

Presidennya Datuk Wira Jalilah Baba berkata pelaburan di Malaysia masih menggalakkan berdasarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang kukuh.

"Malaysia masih menarik, menurut Laporan Kompetitif (Global). Kita masih dalam kalangan negara utama dan pilihan utama dalam ASEAN, serta mesra pelabur," katanya kepada pemebrita pada Persidangan Revolusi Perindustrian Keempat di sini pada Isnin.

Mengenai cabaran ekonomi, beliau berkata dengan bakal Presiden AS Donald Trump akan mengangkat sumpah pada 20 Jan, perniagaan boleh menjangkakan perubahan dasar memandangkan beliau telah meminta syarikat Amerika di luar negara untuk kembali ke AS.

Jalilah berkata Malaysia masih kompetitif walaupun beberapa syarikat AS dilihat mendengar saranan dan janji Trump.

"Saya rasa bagi syarikat-syarikat ini, akan terdapat cabaran kerana perniagaan perlu berada di lokasi (di mana mereka) menjalankan perniagaan, di mana terdapat pertumbuhan.

"Pada masa ini di Asia, ASEAN merupakan pusat pertumbuhan utama di dunia, jadi pelabur asing tidak boleh mengelak berada di sini," katanya.

Jalilah berkata jika syarikat Amerika berpindah dan kembali ke AS, mereka akan berdepan dengan kos logistik, kenaikan ketara dalam kos menjalankan perniagaan walaupun pelbagai insentif ditawarkan kepada mereka.

"Dalam jangka panjang, kos menjalankan perniagaan akan tinggi dalam pelbagai aspek seperti pekerja, jentera, pengangkutan dan logistik serta usaha menembusi pasaran jauh tidak dapat dilaksanakan," katanya.

Jalilah berkata beliau berpendapat pelabur Amerika akan kekal walaupun diminta memindahkan pelaburan mereka ke AS.

Beliau berkata mungkin syarikat-syarikat ini akan membuka satu cawangan atau mendirikan kemudahan pembuatan berteknologi tinggi bagi mengurangkan tenaga kerja bagi pasaran domestik mereka.

"Jika mereka sudah menjadi pelabur global dengan pasaran mereka telah ada di sini, agak mustahil bagi mereka untuk kembali," katanya.

Mengenai amaran Trump tentang akibat bagi syarikat-syarikat meninggalkan Amerika Syarikat, Jalilah berkata ia merupakan langkah yang tidak mesra untuk menghukum pelabur Amerika memandangkan globalisasi menggalakkan perniagaan lebih dekat dengan pelanggan untuk menjimatkan kos.

Mengenai peningkatan pelaburan China di Malaysia, beliau berkata ia satu petanda baik bagi Malaysia kerana ia membawa pengetahuan dan kemahiran kepada perniagaan tempatan dan tenaga kerja.

-- BERNAMA