KUALA LUMPUR: Pembubaran Parlimen yang membuka ruang kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dianggap menjadi
salah satu faktor kepada ketidaktentuan ekonomi negara.

Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof berkata lautan merah yang membanjiri kaunter-kaunter Bursa Malaysia turut dipengaruhi faktor luar seperti tekanan daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (The Fed) menaikkan kadar faedah.

"Ini ditambahkan ketidaktentuan oleh PRU15, Ini kerana kita tidak tahu siapa yang akan menjadi kerajaan selepas PRU15. Walaupun PRN di Melaka dan Johor menunjukkan kemenangan besar kepada BN, dari segi asas, kita tidak boleh buat unjuran itu," ujar beliau sewaktu ditemu ramah dalam program Niaga Awani.


Beliau juga berkata, lonjakan pasaran yang lebih tinggi hanya akan berlaku selepas PRU15.

"Jadi ketidaktentuan itu masih lagi berada dan ini membuatkan pasaran saham kita lemah, bergerak sideways dan tidak akan ada catalyst yang melonjakkan pasaran kita lebih tinggi sehingga mungkin selepas PRU15.

"Jika ada parti yang mendapat majoriti, ia mungkin akan menjadi faktor positif kepada pasaran, akan tetapi bergantung kepada tindakan The Fed (US), sama ada mereka akan bertindak lebih agresif ataupun tidak," kata Imran Yassin.

Bagaimanapun, beliau yakin bahawa terdapat beberapa sektor seperti sektor perbankan dilihat tidak terkesan daripada pembubaran parlimen dan proses pilihan raya.

"Perbankan adalah sektor yang kami rasa, tidak terkesan buat masa ini kerana prestasi sektor ini bergantung kepada tahap ekonomi negara. Jadi jika ekonomi kita beransur pulih, maka prestasi institusi bank di Malaysia juga akan menjadi baik," tambahnya.

Jelas beliau lagi, para pelabur perlu mengenalpasti dan memberi fokus terhadap sektor yang tidak terkesan dengan ketidaktentuan politik Malaysia agar ekonomi negara terus berada di landasan yang baik.