GEORGE TOWN: Pulau Jerejak berpotensi dibangunkan sebagai pusat kewangan yang menghimpunkan pemodal teroka, institusi perbankan, dana ekuiti persendirian dan pelabur teknologi bagi melengkapkan ekosistem semikonduktor dan teknologi tinggi di Bayan Lepas.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata kerajaan menggalakkan Pulau Jerejak dibangunkan sebagai kawasan kewangan memandangkan lokasinya berhampiran kawasan perindustrian Bayan Lepas.
“Pulau Pinang menempatkan industri berteknologi tinggi di Malaysia namun kita kekurangan wang dan pelabur. Kita juga kekurangan institusi kewangan untuk membawa syarikat teknologi kita ke peringkat seterusnya.
“Kita memerlukan pelabur, jadi saya berpandangan projek Pulau Jerejak ini baik untuk melengkapkan teknologi tinggi kita,” katanya pada sidang media selepas mengedarkan Jalur Gemilang bersempena dengan Hari Kebangsaan 2026 di Sungai Nibong di sini, hari ini.
Beliau berkata berdasarkan taklimat pemaju, Ideal Property, kawasan seluas 32.37 hektar di Pulau Jerejak dirancang dibangunkan secara bersepadu bagi mewujudkan ekosistem yang mampu menarik pelabur untuk beroperasi di situ.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata Pulau Jerejak dirancang dibangunkan secara bersepadu merangkumi pusat kewangan, pusat peranginan, pangsapuri berperkhidmatan dan hotel.
Beliau berkata kira-kira 85 peratus daripada keseluruhan Pulau Jerejak telah diwartakan sebagai hutan simpan dan tidak boleh disentuh.
Oleh yang demikian, pembangunan hanya boleh dilakukan di tanah yang diperoleh pemaju selain tertakluk kepada kawalan ketinggian kerana berada dalam jajaran penerbangan, katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pembinaan jambatan baharu yang menghubungkan Pulau Jerejak dengan bahagian utama Pulau Pinang dijangka menjadi pemangkin penting dan menyokong pembangunan pulau itu.
Sim berkata jambatan sepanjang satu kilometer itu dianggarkan menelan kos RM500 juta dengan kerja awal pelebaran jalan dijadual bermula bulan depan.
"Usaha ini dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dengan sasaran pada Mac 2029 dan akan mempunyai empat lorong, masing-masing dua bagi setiap arah, di samping laluan pejalan kaki dan basikal," katanya.
Beliau berkata akses ke jambatan itu dirancang dari kawasan bulatan berhampiran Queensbay dan Jambatan Harapan serta dihubungkan dengan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, manakala reka bentuknya masih diperhalusi.
Pada Mac 2018, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meluluskan kebenaran merancang bagi pembangunan semula Jerejak Rainforest Resort dan pembangunan bercampur manakala kerajaan negeri meluluskan kebenaran merancang bagi pembinaan jambatan itu.
-- BERNAMA