KUALA LUMPUR: Permohonan pembiayaan perniagaan kini lebih mudah apabila Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperkenalkan sistem dalam talian, 'e-mohon' bermula Selasa.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, sistem e-mohon itu akan memberi peluang kepada usahawan memohon pembiayaan perniagaan dan memantau proses permohonan pembiayaan daripada penerimaan permohonan lengkap sehingga status akhir permohonan.

Beliau berkata, sistem tersebut dapat memudahkan pemohon, selain mempercepat dan meningkatkan kecekapan proses permohonan.

“Peralihan kepada pendigitalan operasi adalah satu keperluan, selain menjadi antara kaedah progresif yang boleh digunakan dalam persekitaran hari ini.

"PUNB sentiasa berusaha bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik dan memudahkan usahawan.

“PUNB akan beralih kepada permohonan secara dalam talian sepenuhnya bermula 1 Februari 2022 dan penghantaran permohonan secara bersemuka di ibu pejabat dan Pejabat Wilayah PUNB di seluruh negara akan ditamatkan pada 31 Januari 2022,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Ahmad Nazlan berkata, usahawan yang mempunyai pertanyaan atau ingin mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pembiayaan perniagaan, masih boleh berkunjung ke ibu pejabat dan pejabat PUNB di seluruh negara mengikut waktu operasi yang ditetapkan.

Perkhidmatan e-mohon boleh diakses di https://emohon.punb.com.my/login dan klik untuk pendaftaran serta proses permohonan.

Sebarang pertanyaan mengenai PUNB, boleh hubungi pegawai khidmat pelanggan di talian 1300-13-7862 atau e-mel ke [email protected].

Layari portal rasmi PUNB di www.punb.com.my dan ikuti media sosial PUNB untuk sebarang maklumat terkini.

*Berita asal di DagangNews.com