Sebuah pusat sehenti bagi pembangunan usahawan akan dilancarkan di Selangor tahun depan, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata pusat sehenti yang akan dikenali Pusat Transformasi Keusahawanan (ETC) itu dibina bertujuan memudahkan usahawan dan bakal usahawan mendapatkan maklumat mengenai pembiayaan dan perkhidmatan yang ditawarkan agensi kerajaan kepada mereka.

"Sehingga kini sebanyak enam agensi antaranya Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah menyatakan kesediaan untuk membuka pejabat di ETC.

"Pusat ini juga akan menjadi tempat pertemuan usahawan dari seluruh Selangor untuk mengembangkan rangkaian perniagaan mereka," kata Noh, yang juga anggota Parlimen Tanjung Karang, kepada pemberita di sini pada hari Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Forum Belia Celik Komuniti Asean dan Taklimat Bajet 2015 Strategi Membangun Transformasi Belia Negara.

Turut hadir Presiden Majlis Belia Selangor dan anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim.

Sementara itu, Irmohizam, dalam ucapannya, berkata jawatan Pengerusi Asean yang akan dipegang Malaysia tahun depan, akan membuka lebih banyak ruang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan rangkaian mereka.

Katanya peluang tersebut perlu direbut dan dimanfaatkan sebaik mungkin lebih-lebih lagi apabila Komuniti Ekonomi Asean (AEC) direalisasikan, kelak.