Skip to main content

Bisnes

PuTERA35: Syarikat bumiputera perlu fokus tadbir urus, inovasi tarik pelaburan

AWANI PAGI_AWANI
Kedua-dua Azizan dan Kasim berpandangan syarikat Bumiputera perlu terus memperkukuh keupayaan teknologi, inovasi dan tadbir urus korporat bagi memastikan mereka kekal relevan serta mampu menarik minat pelabur pada masa hadapan.

KUALA LUMPUR: Syarikat Bumiputera perlu memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus, kepimpinan dan inovasi bagi meningkatkan keyakinan pelabur dalam suasana ekonomi global yang semakin mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH, Azizan Jaafar berkata, ketidaktentuan ekonomi dunia termasuk konflik geopolitik menyebabkan pelabur kini lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.

Menurut beliau, faktor seperti kenaikan harga minyak dan kos barangan akibat konflik antarabangsa turut mempengaruhi sentimen pelaburan.

Bagaimanapun, katanya, pelabur masa kini tidak lagi hanya melihat kepada potensi pulangan kewangan semata-mata, sebaliknya turut menilai kekuatan pengurusan syarikat, model perniagaan serta keupayaan syarikat untuk berkembang dalam jangka panjang.

"Pelabur akan melihat siapa yang menerajui syarikat, pengalaman pengurusan, jenis produk yang ditawarkan serta sama ada perniagaan itu mempunyai potensi untuk bertahan dan berkembang pada masa hadapan," katanya pada program AWANI Pagi hari ini. 

Azizan berkata pelaburan jangka panjang perlu disokong oleh teknologi yang mampan serta kepimpinan yang berpengalaman bagi memastikan syarikat mampu berdaya saing dalam pasaran.

Sementara itu, Pengarah Urusan Selia-Tek Holdings, Datuk Kasim Sotin berkata syarikat perlu bijak memilih sektor yang mempunyai permintaan berterusan dan tidak mudah terjejas oleh perubahan ekonomi.

Beliau berkata keputusan syarikatnya untuk memberi tumpuan kepada pengeluaran produk perubatan pakai buang terbukti tepat kerana produk berkenaan sentiasa diperlukan oleh pasaran.

Menurutnya, syarikat itu kini turut meneliti penggunaan teknologi robotik dalam operasi bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing.

Beliau berpandangan penguasaan teknologi baharu termasuk automasi dan robotik akan menjadi antara faktor penting yang membantu syarikat Bumiputera terus berkembang dalam landskap ekonomi yang semakin kompetitif.

Dalam masa sama, kedua-dua tokoh industri itu berpandangan syarikat Bumiputera perlu terus memperkukuh keupayaan teknologi, inovasi dan tadbir urus korporat bagi memastikan mereka kekal relevan serta mampu menarik minat pelabur pada masa hadapan.

Must Watch Video

Advertisement