Sembilan daripada 10 rakyat Malaysia merancang untuk lebih menyimpan berbanding enam bulan yang lalu, demikian menurut kajian Keutamaan Membeli Pengguna MasterCard yang terbaharu.

Dalam kenyataan di sini hari ini, MasterCard berkata responden menyenaraikan pelaburan dan persaraan sebagai sebab utama untuk menyimpan, diikuti mengubahsuai atau membina rumah.

Syarikat itu berkata berdasarkan kajian, berikutan penurunan pendapatan isi rumah, rakyat Malaysia berpendapat mereka akan mengurangkan beberapa perkara dengan percutian ke luar negara berada dalam senarai utama diikuti makan di luar dan percutian dalam negara.

"Keperluan untuk simpanan tetap dan membayar hutang adalah perkara yang tidak akan dikurangkan," kata syarikat itu.

Berdasarkan kajian, walaupun terdapat peningkatan pendapatan isi rumah, rakyat Malaysia menunjukkan aliran yang sama dengan pilihan yang paling popular ialah menjelaskan hutang, diikuti menyimpan duit dalam akaun simpanan mereka.

"Data menunjukkan rakyat Malaysia sedar mengenai hutang mereka dan proaktif untuk menjelaskan hutang-hutang itu," kata MasterCard.

Ketua Negara MasterCard Worldwide Malaysia dan Brunei Safdar Khan berkata di rantau Asia-Pasifik, Malaysia adalah antara negara yang penggunanya merancang untuk lebih menyimpan.

"Ini adalah langkah positif yang boleh membantu rakyat Malaysia menangani bahayanya berbelanja lebih dan membantu menguruskan hutang mereka, yang akhirnya akan menyumbang ke arah kestabilan kewangan yang lebih baik," katanya dalam kenyataan itu.

MasterCard berkata kajian turut menunjukkan ramai rakyat Malaysia mendakwa memahami pengurusan wang asas melalui pemahaman kewangan hari ke hari dari segi perbelanjaan, kira-kira empat daripada 10 mengaku mengalami masalah untuk mengasingkan wang mereka.

Kira-kira 50 peratus daripada responden juga menghadapi masalah untuk menjelaskan bil dan komitmen terhadap kredit.