KUALA LUMPUR: RHB Investment menjangkakan kebanyakan pemaju hartanah akan meningkatkan sasaran jualan mereka antara 10% hingga 15% pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Katanya, unjuran itu dibuat kerana kebanyakan pemaju hartanah merancang untuk melancarkan lebih banyak projek di Iskandar Malaysia tahun ini.

Firma penyelidikan itu berkata, kerajaan Malaysia dan Singapura dijangka memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) pada 11 Januari 2024.

Selain itu katanya, kemasukan Nvidia dan Microsoft baru-baru ini menunjukkan peningkatan keyakinan dalam kalangan pelabur asing, terutamanya dalam ruang pusat data.

"Kemasukan pelaburan dan peningkatan permintaan untuk tanah perindustrian memacu peningkatan harga tanah di Johor dan pemilik utama seperti UEM Sunrise Berhad dan Sunway Berhad mungkin menikmati penarafan semula nilai aset bersih sebenar (RNAV) pada masa hadapan," katanya dalam satu not akajian, hari ini.

RHB Investment berkata, pemulihan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura pada kos yang lebih rendah juga memberi impak positif kepada prospek hartanah.

"Kami berpendapat MyHSR Corp berkemungkinan memberikan beberapa kemas kini mengenai projek itu, terutamanya selepas tarikh akhir penyerahan cadangan konsep permintaan maklumat (RFI) yang dilanjutkan sehingga 15 Januari 2024.

"Kemajuan positif projek itu seharusnya menyaksikan peningkatan dalam permintaan hartanah, bukan sahaja di Iskandar Malaysia tetapi juga di Kuala Lumpur," katanya.

Firma penyelidikan itu kekal positif terhadap pasaran hartanah Iskandar Malaysia memandangkan penumpuan pelaburan berprofil tinggi dan pembangunan infrastruktur yang sedang berlaku di wilayah selatan.

Katanya, persekitaran makroekonomi keseluruhan, dasar kerajaan dan aliran pelaburan adalah menggalakkan dan akan menyokong pertumbuhan jualan hartanah pada 2024- 2025.

"Kami mengekalkan saranan 'overweight'  terhadap sektor hartanah dan UEM Sunrise (UEMS), Sunway serta IOI Properties merupakan pilihan utama di dalam sektor itu," katanya. - DagangNews.com