KUALA LUMPUR: Ranhill Utilities Berhad berbangga berada dalam tiga syarikat yang diberi Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus Korporat MSWG-ASEAN 2020 bagi kategori syarikat utiliti.

Pemilihan Ranhill sebaris dengan Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG).

Dalam satu kenyataan, Pengurusan Ranhill menjelaskan pemilihan itu merupakan bukti kejayaan pihaknya dalam menyediakan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah terhadap kualiti hidup masyarakat.

"Ranhill komited meneruskan perkhidmatan cemerlang dalam sektor pembekalan air bersih terawat dan tenaga bersih serta rawatan air kumbahan yang menjadi sebahagian ekosistem kehidupan negara moden.

"Kami di Ranhill meletakkan kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sebagai sebagai keutamaan dalam perkembangan perniagaan berasaskan perkhidmatan kemudahaan asas rakyat," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu juga menyebut, pengiktirafan oleh MSWG ini juga mencerminkan keyakinan para pemegang saham minoriti terhadap perkembangan syarikat tersebut terutama dalam melaksanakan budaya tadbir urus korporat yang berasaskan kepada kepentingan pelanggan, pekerja, syarikat dan pemegang saham.