KUALA LUMPUR: Komunikasi yang berkesan dan efektif perlu dilakukan kerajaan seiring reformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelbagai platform dan kaedah penerangan perlu dilakukan lantaran tahap kefahaman rakyat terhadap sesuatu isu adalah berbeza.

"Kalau kita lihat dari segi isu cukai, kadang-kadang ramai yang tidak faham mengapa cukai baharu perlu diperkenal atau dinaikkan kadarnya.

"Penjelasan itu harus digandingkan dengan implikasi sekiranya (perubahan itu) tidak dilakukan.

"Kerajaan juga boleh terangkan, apakah alternatif lain yang kerajaan hendak lakukan, namun ia tidak sesuai dilakukan pada masa ini," katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Khamis.



Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada dapatan kajian dilakukan syarikat penyelidikan dan perundingan pasaran antarabangsa, Ipsos bertajuk 'Apa Yang Merisaukan Rakyat Malaysia' yang diterbitkan pada Rabu.

Dalam kajian itu, Ipsos melaporkan,lebih separuh daripada rakyat Malaysia secara khusus menyatakan kebimbangan utama mereka tentang pembetulan kewangan dan politik.

Malah, kebimbangan terhadap cukai juga semakin meningkat, terutamanya apabila dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, semakin ramai rakyat Malaysia khuatir tentang situasi kewangan mereka dan mengambil sikap berhati-hati dalam berbelanja apabila rasa teruja tentang bulan-bulan awal tahun baharu semakin berkurangan.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman mengambil contoh pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api yang dijangka akan dilaksanakan pada Jun akan datang.

"Apabila kerajaan melaksanakan rasionalisasi ini, ia akan berjaya mengurankan peruntukan subsidi dan ini akan memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan lebih banyak inisiatif ataupun bantuan bukan sahaja untuk B40 tetapi kepada M40 dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Kalau kita lihat ada beberapa lagi barang kawalan yang masih dikekalkan dengan harga yang rendah, tarif air dan elektrik masih kekal rendah.

"Ini adalah sebenarnya mesej yang harus kerajaan tekankan bahawa bukan bermakna apabila segelintir sahaja yang akan dapat bantuan subsidi bahan api, tapi sebenarnya penjimatan daripada peruntukan itu dapat disalurkan kepada inisiatif lain yang dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, kerajaan perlu memberikan lebih penerangan serta implikasi kepada rakyat secara keseluruhan dan bukan sekadar mengumumkan sesuatu perubahan dasar sahaja.