TEHRAN: Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memberi amaran akan bertindak tegas terhadap mana-mana kapal ketenteraan yang cuba melintasi Selat Hormuz tanpa kebenaran.
Dalam satu kenyataan yang dikongsi oleh agensi berita separa rasmi Tasnim, IRGC berkata pihaknya mempunyai kuasa penuh untuk mengawal laluan perairan strategik itu.
Advertisement
Menurut kenyataan berkenaan, hanya kapal awam dibenarkan melalui selat tersebut tertakluk kepada syarat tertentu.
“IRGC mempunyai kuasa penuh untuk menguruskan Selat Hormuz secara berhemah.
"Sebarang kapal ketenteraan yang cuba melintasi laluan ini akan ditangani dengan tindakan keras,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, IRGC turut menafikan dakwaan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini bahawa dua kapal tentera lautnya telah melalui Selat Hormuz.
Selat Hormuz merupakan laluan perairan penting dunia yang mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak dan gas global, dan kekal sebagai titik pertikaian utama di tengah ketegangan berterusan antara Iran dan AS.