RHB Research percaya firma kejuruteraan air dan air kumbahan, Salcon Bhd, mempunyai peluang baik untuk memperoleh lebih banyak kontrak berkaitan air.

Ia berkata Salcon, yang projek dalam tangan kini berjumlah RM2.25 bilion, membida projek pembinaan loji rawatan air Langat 2 bersama-sama MMC Corporation Bhd dan Ahmad Zaki Resources Bhd.

Turut dalam perancangan ialah loji rawatan air projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, dengan pihak pengurusannya menubuhkan syarikat usaha sama 50:50 dengan George Kent (M) Bhd untuk mengemukakan pembidaan bersama.

Selain itu, berdasarkan maklumat sumber-sumber kami, Salcon juga sedang berusaha untuk menyertai tender pengurusan sisa pepejal serta sisa industri di RAPID Pengerang.

"Kontrak ini sahaja mungkin bernilai kira-kira RM400 juta hingga RM500 juta," kata RHB Research dalam notanya hari ini.

Firma penyelidikan itu menetapkan nilai saksama sebanyak 80 sen bagi Salcon dengan saranan 'tidak diberikan penarafan' ke atas saham syarikat itu.