KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd mengumumkan sijil perakuan pengendali udara (AOC) gabungannya membawa kira-kira 18.9 juta penumpang pada suku pertama 2026, meningkat sebanyak sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya dipacu oleh lonjakan permintaan domestik.
AOC gabungan syarikat berkenaan merangkumi AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia, AirAsia Philippines, AirAsia Cambodia dan AirAsia X Malaysia.
Advertisement
“Prestasi ini menunjukkan permintaan yang mampan di seluruh rangkaian memandangkan pertumbuhan penumpang kekal selaras dengan peningkatan kapasiti sebanyak 10 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 22.1 juta tempat duduk.
"AOC gabungan tersebut kini memulihkan kapasiti hampir ke tahap prapandemik dengan faktor muatan yang kukuh iaitu sebanyak 85 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Bo Lingam berkata suku pertama 2026 mengesahkan kekuatan model gabungannya dengan pertumbuhan hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) sebanyak tujuh peratus, mengatasi pertumbuhan tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) sebanyak enam peratus.
“Sebagai maklum balas terhadap tekanan bahan api luar, kami mengambil langkah tegas pada Mac untuk menguruskan margin kami melalui pelarasan tambang dan surcaj bahan api.
“Paling penting, kami tidak melihat sebarang tanda gangguan permintaan yang ketara. Faktor muatan kami bagi Mac sebenarnya meningkat berbanding tahun sebelumnya memandangkan para penumpang kami mengutamakan nilai dan keterhubungan yang kami sediakan semasa tempoh puncak Hari Raya,” katanya.
Memandang ke hadapan, Lingam berkata momentum berkenaan berterusan sehingga April, dengan tempahan masa depan kekal kukuh di seluruh rangkaian terasnya.
“Keutamaan kami adalah untuk memaksimumkan produktiviti pesawat aktif kami sambil mengekalkan rangkaian bersepadu yang cekap dan mudah suai.
"Dengan mengutamakan koridor hasil tinggi dan mengekalkan pengurusan kos yang berdisiplin, kami bersedia untuk mengharungi ketidaktentuan pada bulan-bulan mendatang dengan daya tahan dan ketangkasan,” katanya.
Bagi pasaran antarabangsa, AirAsia X berkata tumpuan kumpulan terhadap Asia Utara mengekalkan momentum yang kukuh iaitu laluan utamanya ke China dari Malaysia dan Thailand mencatatkan prestasi yang baik dengan faktor muatan bagi sektor-sektor ini berada pada tahap 85 peratus bagi suku berkenaan.
Syarikat penerbangan itu berkata AOC gabungan membawa 6.3 juta penumpang pada Mac iaitu peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Angka ini mengatasi peningkatan kapasiti sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya berikutan bermulanya ketegangan geopolitik yang memuncak serta kenaikan harga bahan api pesawat.
“Prestasi ini dipacu oleh musim perayaan apabila komitmen kumpulan untuk memberikan nilai terbaik kepada para penumpang membolehkan syarikat meraih pertumbuhan yang ketara dalam perjalanan serantau.
“Paling menarik, faktor muatan bagi Mac meningkat sebanyak dua mata peratusan berbanding tahun sebelumnya kepada 84 peratus,” kata AirAsia X.
Sementara itu, syarikat itu berkata syarikat sekutu kumpulan, AirAsia X Thailand (TAAX) membawa 599,198 penumpang sepanjang suku berkenaan yang menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya susulan pemindahan hab strategiknya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada akhir 2024.
AOC gabungan tersebut meningkatkan jumlah pesawat operasi sebanyak sebuah pesawat berbanding tahun sebelumnya kepada 203 pesawat dan menutup suku berkenaan dengan jumlah keseluruhan 240 pesawat.
Saiz kumpulan pesawat TAAX pula kekal kepada 11.
-- BERNAMA