KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia muncul antara mata wang terkuat di Asia apabila mencatatkan peningkatan 10.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (dolar AS) sepanjang 2025, sekali gus merekodkan kadar kenaikan tertinggi dalam kalangan rakan serantau.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengukuhan itu mencerminkan persekitaran luaran yang semakin baik serta asas ekonomi domestik yang kukuh.
Advertisement
“Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, nilai ringgit didorong oleh perkembangan global dan domestik.
"Pengukuhan nilai ringgit kebelakangan ini mencerminkan persekitaran luaran yang bertambah baik dan prospek ekonomi Malaysia yang kukuh,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan yang ingin tahu faktor serta dasar ekonomi yang menyumbang kepada pengiktirafan Ringgit Malaysia sebagai antara mata wang terkuat di Asia dengan peningkatan tertinggi berbanding mata wang serantau yang lain.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, selain meningkat berbanding dolar AS, ringgit turut mencatatkan kenaikan antara 1.5 peratus hingga 13.9 peratus berbanding mata wang utama dan serantau lain.
Apabila mengambil kira purata berwajaran mata wang rakan perdagangan utama seperti dolar Singapura, renminbi China dan dolar AS, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit meningkat sebanyak 6.1 peratus dalam tempoh sama.
Setakat 24 Februari 2026, ringgit terus mengukuh sebanyak 4.09 peratus kepada paras RM3.89 berbanding satu dolar AS.
Mengulas faktor global, Amir Hamzah berkata, penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat dan peralihan jangkaan ke arah persekitaran kadar faedah lebih rendah dalam kalangan ekonomi utama dunia telah menyokong pengukuhan ringgit.
Pengukuhan itu turut disokong oleh sentimen pelabur yang positif dalam persekitaran perdagangan dunia yang terus berkembang serta aliran masuk pelaburan portfolio dan pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan.
Dari sudut domestik, beliau berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2025 dicatatkan pada 5.2 peratus, mengatasi unjuran awal antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus.
Prestasi suku keempat 2025 pula berkembang 6.3 peratus, tertinggi dalam tempoh tiga tahun, dipacu pengembangan sektor perkhidmatan dan pembuatan dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama ekonomi.
Walaupun ringgit mengukuh, eksport kasar negara terus mencatat pertumbuhan 6.5 peratus pada 2025, disokong terutamanya oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang meningkat 18.3 peratus kepada RM711.6 bilion dan menyumbang 44.3 peratus daripada jumlah eksport negara.
Menjawab soalan tambahan sama ada pengukuhan ringgit menjejaskan daya saing eksport, beliau berkata, kesan keseluruhan dijangka terkawal memandangkan syarikat pengeksport utama lazimnya melaksanakan langkah lindung nilai bagi mengurangkan risiko pergerakan mata wang.
Kerajaan melalui EXIM Bank turut menyediakan sokongan pembiayaan bersasar termasuk Skim Insentif Pemampanan Pengeksport berjumlah RM500 juta serta Skim Takaful Perlindungan Kredit Perdagangan bagi membantu syarikat menembusi pasaran baharu.
Di bawah Belanjawan 2026, sebanyak RM60 juta diperuntukkan kepada MATRADE bagi pelaksanaan Geran Pembangunan Pasaran dan inisiatif Malaysia Go Global untuk menyokong pengeksport khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Selain itu, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) sedia menjamin sehingga 70 peratus pembiayaan syarikat pertengahan berorientasikan eksport dengan nilai jaminan sehingga RM5 bilion.
Beliau berkata, struktur perdagangan Malaysia yang pelbagai dan tidak tertumpu kepada satu pasaran tunggal turut membantu mengurangkan risiko kejutan luaran serta membolehkan negara memanfaatkan pengukuhan ringgit untuk meneroka pasaran baharu.