Skip to main content

Malaysia

KPKT saran PBT kurangkan sewa gerai, premis

[TB]_KPKT_Astro AWANI
Tambah Kor Ming, pengurangan kadar sewaan bukan sahaja membantu peniaga kecil meneruskan perniagaan, malah turut menyumbang kepada kestabilan harga barangan dan perkhidmatan untuk pengguna.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyarankan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara mempertimbangkan pengurangan kadar sewaan premis perniagaan, gerai dan medan selera bagi membantu meringankan beban penjaja serta peniaga kecil.

Menurut menterinya, Nga Kor Ming, langkah itu dicadangkan sehingga penghujung tahun 2026 sebagai kesinambungan usaha Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat yang berdepan peningkatan kos operasi ketika ini.

Menurut beliau, KPKT turut menyambut baik cadangan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya PBT menyediakan insentif bersesuaian kepada peniaga yang menyewa premis di bawah seliaan masing-masing.

"Langkah strategik itu mampu membantu mengurangkan tekanan kos operasi selain merangsang pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi.

"Inisiatif tersebut juga penting bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan, mengekalkan peluang pekerjaan serta memperkukuh daya tahan ekonomi komuniti setempat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

Tambah Kor Ming, pengurangan kadar sewaan bukan sahaja membantu peniaga kecil meneruskan perniagaan, malah turut menyumbang kepada kestabilan harga barangan dan perkhidmatan untuk pengguna.

Dalam masa sama, beliau menghargai tindakan beberapa PBT termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah melaksanakan pengurangan kadar sewaan sehingga 50 peratus bagi premis dan gerai tertentu di bawah seliaannya.

Menurut beliau lagi, langkah itu melengkapkan pelbagai usaha Kerajaan MADANI dalam membantu komuniti peniaga kecil termasuk menerusi program bantuan keusahawanan, penaiktarafan medan selera dan pasar awam serta pelaksanaan inisiatif MyKiosk.

Kerajaan turut melaksanakan beberapa pendekatan lain bagi menangani kos sara hidup rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta inisiatif BUDI MADANI termasuk BUDI Diesel dan BUDI95.

Kor Ming berkata kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan dan terus menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, KPKT akan terus bekerjasama dengan semua PBT untuk meneliti kaedah pelaksanaan terbaik mengikut kemampuan kewangan dan keperluan setempat demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan ekonomi bandar.

 

Must Watch Video