Ringgit mengakhiri dagangannya bagi 2017 hari ini dengan mencecah paras tertinggi dalam tempoh setahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dipacu aliran peningkatan kukuh susulan sentimen memberangsangkan serta kelemahan dolar AS, kata peniaga.

Bersandarkan momentum kenaikan yang ketara, ringgit mencecah paras 4.0440/0500 berbanding dolar AS ketika ditutup hari ini daripada 4.0650/0680, semalam.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata lonjakan ringgit itu dipacu oleh pemulihan komoditi terutamanya minyak mentah, minyak sawit mentah dan tembaga.

Beliau turut menyifatkan prestasi memberangsangkan itu dipengaruhi oleh pelbagai perkembangan tempatan yang positif, termasuk aliran masuk dana asing secara ketara ke dalam Malaysia, prestasi pasaran ekuiti yang kukuh beserta data-data ekonomi yang positif selain prospek kemungkinan Kadar Dasar Semalaman dinaikkan.

"Kita menyaksikan banyak pemangkin kukuh yang memacu ringgit dan rizab kita juga mengalami aliran kenaikan. Semua ini jelas memihak kepada pergerakan ringgit," katanya kepada Bernama.

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$102.2 bilion (RM431.6 bilion) setakat 15 Dis, 2017 berbanding AS$101.9 bilion (RM430.4 bilion) setakat 30 Nov, 2017.

Selain itu, dolar AS terus diasak tekanan dan ditutup pada paras terendah dalam tempoh hampir sebulan pada hari ini, susulan faktor-faktor utama termasuk penyusutan mendadak hasil bon Perbendaharaan AS dan data ekonomi yang lebih lemah daripada jangkaan.

Dalam pada itu, ringgit turut meningkat berbanding kelompok mata wang utama dunia.

Ia tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0265/0323 daripada 3.0372/0401 dan naik berbanding yen kepada 3.5912/5968 daripada 3.6002/0041, semalam.

Ringgit juga tinggi berbanding euro kepada 4.8451/8535 daripada 4.8495/5543 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4602/4687 daripada 5.4654/4711. -- Bernama