KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran penurunan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Isnin, ketika penyusutan selera risiko pelabur mengasak unit tempatan itu mencecah paras terendah dalam tempoh 24 tahun.

Pada 6 petang ini, ringgit susut ke paras 4.6030/6045 berbanding dolar AS daripada 4.5775/5800 pada akhir Jumaat lepas.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian Mohd Sedek Jantan berkata ringgit sememangnya dijangka susut susulan pengukuhan ketara dolar AS akibat perkembangan berkaitan kenaikan kadar faedah.

"Bagaimanapun, kami menjangkakan unit tempatan itu akan kembali pulih selepas dolar AS mencatat penurunan apabila pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) memperlahankan tindakan menaikkan kadar faedah.

"Perlu diingat bahawa pengukuhan dolar AS akibat kenaikan kadar faedah, tidak hanya memberi kesan kepada ringgit tetapi juga mata wang lain," katanya kepada Bernama.

Malah, beliau berkata, di peringkat serantau, prestasi ringgit telah mengatasi pound Britain, dolar Australia, dolar Singapura dan yen Jepun.

"Dari segi ketidaktentuan mata wang, ringgit lebih stabil berbanding mata wang Korea Selatan, Australia, Jepun, Jerman dan United Kingdom.

"Pengukuhan ringgit itu telah didorong oleh pertumbuhan eksport yang menyaksikannya mencecah 48.2 peratus tahun ke tahun pada Ogos yang juga paras tertingginya dalam tempoh 16 bulan," katanya.

Bagi minggu ini, ringgit diunjur diniagakan pada paras 4.580 hingga 4.630 berbanding dolar AS.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2054/2069 daripada 3.2130/2152 sebelum ini, mengukuh berbanding yen kepada 3.1950/1965 daripada 3.2091/2113 serta naik berbanding euro kepada 4.4405/4420 daripada 4.4686/4710.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.9197/9213.

-- BERNAMA