KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka hampir mendatar berbanding dolar AS pada Selasa berikutan pelabur terus berhati-hati susulan konflik yang berlarutan di Asia Barat, yang terus mendorong kenaikan harga minyak mentah dan menyokong mata wang unit negara maju.
Pada 8 pagi, unit tempatan meningkat sedikit kepada 4.0420/0480 berbanding dolar AS daripada 4.0440/0485 semasa ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, konflik yang berterusan itu menunjukkan inflasi Amerika Syarikat (AS) mungkin kekal melebihi sasaran dua peratus Rizab Persekutuan AS untuk tempoh yang berpanjangan.
“Dalam hal ini, perbincangan mengenai kenaikan kadar faedah AS pada minggu depan semakin mendapat perhatian berikutan prestasi kukuh data gaji bukan ladang (NFP) yang dikeluarkan minggu lepas,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, persetujuan antara Iran dan Oman untuk menguruskan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, yang kini berada pada peringkat akhir, menunjukkan konflik dengan AS mungkin berlarutan untuk tempoh yang panjang.
“Ini bermakna konflik yang berpanjangan dengan AS akan menyebabkan harga minyak mentah lebih tinggi berikutan gangguan berterusan terhadap bekalan minyak dari rantau Teluk, yang menyumbang kira-kira 20 peratus daripada bekalan minyak global.
“Bagaimanapun, kami melihat ringgit akan kekal dalam julat dagangan yang terhad berikutan keadaan makroekonomi domestik yang positif memberikan faktor kukuh untuk terus melabur dalam aset kewangan Malaysia.
“Oleh itu, gandingan dolar AS-ringgit dijangka bergerak antara RM4.04 dan RM4.05 hari ini,” katanya.
Sementara itu, pakar strategi global Quintex Intel, Stephen Innes berkata, bacaan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang lebih tinggi boleh menguatkan alasan untuk Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah pada September, sekali gus memberikan sokongan jangka pendek kepada dolar AS.
“Sebahagian penganalisis semakin cenderung kepada jangkaan itu walaupun pasaran pada dasarnya masih melihat keputusan (Rizab AS pada) September sebagai peluang yang hampir seimbang,” katanya.
Ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.6272/6313 daripada 2.6173/6204 semasa ditutup pada Isnin, merosot berbanding euro kepada 4.7000/7070 daripada 4.6991/7044 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4753/4834 daripada 5.4736/479 sebelumnya.
Bagaimanapun, mata wang tempatan kebanyakannya diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang serantau.
Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.2995/3246 daripada 12.3041/3231 semasa ditutup sebelumnya, menokok berbanding peso Filipina kepada 6.45/6.47 daripada 6.46/6.47 serta naik berbanding rupiah Indonesia kepada 229.1/229.5 daripada 229.2/229.6 semalam.
Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1945/1997 daripada 3.1943/1981 sebelumnya.
-- BERNAMA