Ringkasan AI
- Perjalanan umrah jemaah Malaysia ke Tanah Suci diteruskan seperti biasa walaupun Arab Saudi mengeluarkan amaran keselamatan di beberapa kawasan.
- Agensi pelancongan belum menerima arahan rasmi untuk menangguhkan atau membatalkan perjalanan umrah dan tiada pembatalan diterima setakat ini.
- Amaran keselamatan Arab Saudi melibatkan wilayah Mekah, Jeddah, Taif dan Yanbu susulan kemungkinan ancaman keselamatan di tengah ketegangan serantau.
KUALA LUMPUR: Perjalanan umrah jemaah Malaysia ke Tanah Suci diteruskan seperti biasa meskipun Arab Saudi mengeluarkan amaran keselamatan di beberapa kawasan susulan kemungkinan ancaman keselamatan.
Pengarah Urusan CS Holidays, Naim Shauqy Ashari berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang arahan rasmi daripada pihak berkuasa untuk menangguhkan atau membatalkan perjalanan umrah.
Menurutnya, perjalanan yang dijadualkan dalam masa terdekat, termasuk pada November dan Disember, akan diteruskan seperti yang dirancang selagi tiada sekatan atau perubahan terhadap jadual penerbangan.
"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang arahan rasmi berhubung larangan perjalanan umrah.
"Dalam masa terdekat ini, kita teruskan seperti biasa. Saya sendiri akan pergi pada bulan Disember dan setakat ini tiada sebarang pembatalan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Bagaimanapun, Naim Shauqy berkata, pihak agensi menghormati keputusan jemaah yang ingin membatalkan perjalanan atas faktor kebimbangan terhadap konflik yang berlaku di rantau berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang pembatalan daripada jemaah yang dijadualkan menunaikan umrah.
"Kalau mereka mahu membatalkan perjalanan kerana bimbang tentang peperangan, kita perlu menghormati keputusan mereka.
"Namun, setakat ini kita masih menjangkakan perjalanan berjalan seperti biasa," tambahnya lagi.
Beliau turut merujuk kepada pengalaman musim haji tahun lalu apabila perjalanan jemaah tetap diteruskan meskipun berlaku konflik di Asia Barat.
“Kalau kita lihat pengalaman musim haji tahun lalu, perjalanan jemaah tetap diteruskan meskipun berlaku konflik yang serius di Asia Barat, termasuk serangan terhadap lapangan terbang.
“Bagaimanapun, jadual penerbangan ketika itu perlu diubah dan disesuaikan mengikut keadaan semasa,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours (Andalusia), Ida Riswana Idris turut mengesahkan bahawa perjalanan umrah jemaah di bawah kendalian syarikat berkenaan masih berjalan seperti biasa.
"Setakat ini, jemaah Andalusia masih terbang seperti biasa," katanya.
Ditanya sama ada pihaknya menerima sebarang amaran atau arahan rasmi untuk menangguhkan perjalanan, Ida Riswana berkata: "Tiada setakat ini. Alhamdulillah," tambahnya.
Terdahulu, Arab Saudi mengeluarkan amaran bahaya di beberapa kawasan susulan kemungkinan ancaman keselamatan pada awal pagi Sabtu, ketika ketegangan serantau terus meningkat berikutan konflik dengan kumpulan Houthi di Yaman.
Amaran berkenaan melibatkan wilayah Mekah serta bandar Jeddah, Taif dan Yanbu, menurut kenyataan Pertahanan Awam Arab Saudi menerusi platform media sosial X.
Penduduk di kawasan terlibat turut dinasihatkan supaya mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap keselamatan awam.