Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS menjelang pengumuman OPR

Pada 8 pagi, ringgit berada pada paras 4.1865/1985 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya berbanding dolar AS pada awal dagangan pagi ini selepas ditutup 0.14 peratus lebih tinggi semalam, dengan tumpuan pasaran terarah kepada keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia berhubung Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang akan diumumkan hari ini.
Pada 8 pagi, ringgit berada pada paras 4.1865/1985 berbanding dolar AS 4.1890/1925 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan OPR dikekalkan pada kadar 2.75 peratus memandangkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga sebanyak 5.2 peratus.
"Sehubungan itu, gandingan dolar AS-ringgit dijangka berlegar sekitar paras RM4.19 hari ini," katanya.
Mohd Azanizam berkata sentimen pasaran tempatan kekal menyokong meskipun Indeks Dolar AS (DXY) berada sekitar 100 mata, dalam persekitaran peningkatan keyakinan perniagaan terhadap sektor perkhidmatan serta pertambahan peluang pekerjaan dalam sektor swasta.
"Petunjuk ekonomi Amerika Syarikat mencatatkan prestasi memberangsangkan. Namun, isu berkaitan penutupan kerajaan dan tarif terus menekan sentimen perniagaan.
"Ini berikutan penyampaian perkhidmatan kerajaan terganggu manakala kos operasi perniagaan meningkat akibat tarif import yang lebih tinggi," katanya.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama, kecuali mengukuh sedikit berbanding yen Jepun.
Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4642/4799 daripada 5.4612/4658 ketika ditutup pada Rabu, dan turun sedikit berbanding euro kepada 4.8124/8262 daripada 4.8106/8147. Namun, ia mengukuh berbanding yen kepada 2.7116/7245 daripada 2.7254/7279 sebelumnya.
Mata wang tempatan itu juga mencatatkan prestasi lebih baik berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2039/2133 daripada 3.2055/2085 semalam, dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.11/7.14 daripada 7.12/7.13 sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit sedikit merosot berbanding baht Thailand kepada 12.8776/9244 daripada 12.8730/8893 semalam dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 250.4/251.2 berbanding 250.5/250.9 yang dicatatkan semalam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


