LONDON: Dua lelaki dilaporkan maut akibat dihempap pokok tumbang ketika Ribut Boelo terus membadai United Kingdom (UK), menyebabkan lebih 160,000 premis terputus bekalan elektrik setakat petang Ahad.
Mangsa pertama, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an, disahkan meninggal dunia selepas kereta yang dipandunya di Finchley, utara London, dihempap sebatang pokok yang tumbang.
Insiden itu berlaku hanya beberapa jam selepas seorang lelaki berusia 60 tahun maut dalam kejadian sama di Dumfries and Galloway, Scotland.
Menurut Persatuan Rangkaian Tenaga (ENA), sebanyak 161,400 premis masih terputus bekalan elektrik setakat jam 3 petang waktu tempatan.
Keadaan cuaca yang berbahaya turut menjejaskan usaha pemulihan bekalan apabila jurutera rangkaian menghadapi kesukaran untuk memulakan kerja pembaikan secara selamat.
Polis Metropolitan berkata mereka menerima laporan mengenai pokok tumbang menghempap sebuah kenderaan yang sedang bergerak di Dollis Road, Finchley, kira-kira jam 12.40 tengah hari.
Ketua Inspektor Guy Ellwood menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi besar dan merakamkan takziah kepada keluarga mangsa.
Perkhidmatan Ambulans London memaklumkan pasukan tindak balas kecemasan, paramedik kawasan berisiko tinggi serta pasukan trauma ambulans udara London dikerahkan ke lokasi kejadian.
Sementara itu, Polis Scotland mengesahkan seorang lelaki turut maut selepas dihempap pokok tumbang berhampiran Castle Douglas di selatan Scotland.
Menurut ENA, gabungan Ribut Boelo dan Ribut Austen yang melanda UK sejak Jumaat lalu menyebabkan sebanyak 838,700 premis mengalami gangguan bekalan elektrik.
Kelajuan angin paling tinggi direkodkan di Machrihanish, Argyll and Bute, mencecah 137 kilometer sejam (85 batu sejam), manakala Stornoway di Outer Hebrides serta Capel Curig di utara Wales merekodkan kelajuan sehingga 135 kilometer sejam (84 batu sejam).
Amaran cuaca tahap jingga bagi angin kencang yang dikeluarkan Pejabat Meteorologi UK (Met Office) meliputi seluruh Scotland dan sebahagian utara England sehingga jam 9 malam Ahad.
Amaran cuaca tahap kuning turut dikeluarkan melibatkan beberapa bandar utama termasuk Liverpool, Manchester, Leeds, Sheffield dan Newcastle, selain kawasan East Midlands, West Midlands serta utara Wales.
Met Office menasihatkan orang ramai supaya berada di dalam bangunan sebanyak mungkin dan mengelakkan berjalan atau berlindung berhampiran bangunan serta pokok.
Dalam perkembangan berkaitan, empat amaran banjir dikeluarkan di beberapa kawasan England dan Wales, manakala 17 amaran banjir berkuat kuasa di seluruh Scotland.
Jumlah hujan luar biasa turut direkodkan di Tanah Tinggi Scotland dengan kawasan Cluanie Inn menerima sehingga 130 milimeter hujan.
Kerajaan Scotland mengadakan mesyuarat khas pada Ahad bagi menilai impak Ribut Boelo, sambil memberi amaran cuaca buruk berpotensi kembali melanda dalam beberapa hari akan datang.
Di Aberfeldy, Perth and Kinross, dua wanita dikejarkan ke hospital selepas terkena pokok tumbang sekitar jam 12.50 tengah hari.
Kawasan pesisir Clyde di Scotland antara yang paling teruk terjejas. Jalan utama yang menghubungkan Skelmorlie dan Largs mengalami kerosakan teruk, manakala beberapa premis perniagaan di Largs dilanda banjir pada malam Sabtu.
Di Gourock, sebuah bot dilaporkan tercampak ke tepi jalan akibat tiupan angin kuat, manakala bekalan elektrik di Girvan turut terputus sepanjang Ahad.
Seorang pemilik kedai telefon bimbit di Dumbarton, Muhammad Zubair Ashraf, berkata premisnya ditenggelami air dan kerosakan dianggarkan antara £5,000 hingga £10,000 (RM28,000 hingga RM56,000).
Gangguan cuaca turut menjejaskan perjalanan di seluruh UK. Polis Scotland menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan perjalanan yang tidak penting, manakala beberapa perkhidmatan feri, penerbangan dan kereta api terpaksa dibatalkan atau mengalami kelewatan.
Lapangan terbang di Belfast, Glasgow, Aberdeen dan Dublin antara yang terjejas susulan keadaan cuaca buruk berkenaan.