KUALA LUMPUR: Ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa dibuka hari ini berikutan permintaan yang lebih memberangsangkan terhadap dolar AS di tengah-tengah kekukuhan hasil Perbendaharaan AS.

Pada 9 pagi, ringgit berkurangan kepada 4.7225/7270 berbanding dolar AS daripada 4.7200/7250 semasa ditutup semalam.

Bagaimanapun, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka kekal stabil pada sekitar RM4.72 berbanding mata wang AS selepas mencecah paras terendah pada Februari dan berikutan kenyataan bank pusat Malaysia bahawa paras ringgit adalah terkurang nilai.

"Sentimen mengenai kadar (faedah) AS akan terus menjadi pemacu utama bagi pasaran mata wang terutamanya apabila jangkaan pasaran terhadap tempoh pengurangan kadar AS telah dianjak sehingga Julai.

"Buat masa ini, sentimen meningkat terhadap dolar AS masih teguh mekipun kadang-kala kita dapat menyaksikan Indeks Dolar AS (DXY) semakin menyusut," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan merosot berbanding pound Britain kepada 5.9938/9995 daripada 5.9840/9904 semasa ditutup pada Isnin, berkurangan berbanding euro kepada 5.1249/1297 daripada 5.1198/1252 semalam, namun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1398/1430 daripada 3.1410/1445 sebelumnya.

Pada masa sama, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean lain.

Ia lebih rendah berbanding baht Thailand kepada 13.1976/2157 daripada 13.1766/1965 semasa ditutup pada Isnin, menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.5153/5189 berbanding 3.5137/5177, berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 299.9/300.4 daripada 299.7/300.2 dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.45 daripada 8.43/8.44 sebelumnya.

-- BERNAMA