GEORGE TOWN: Sebuah treler yang membawa muatan tiang konkrit dan dua kenderaan lain terbakar selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di laluan bawah Udini Underpass, Jalan Masjid Negeri, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata dua lagi kenderaan yang turut terbakar dalam kejadian itu ialah sebuah van persiaran dan kereta jenis Proton S70.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.04 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dikejarkan ke lokasi.
"Sebaik tiba, kemalangan didapati melibatkan lima buah kenderaan dengan tiga daripadanya terbakar. Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada 7.33 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan kerana mereka sempat keluar menyelamatkan diri.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan orang awam dinasihati supaya menggunakan laluan alternatif sehingga keadaan kembali terkawal.
Kejadian pada waktu puncak itu menyebabkan kesesakan teruk di beberapa kawasan antaranya Jalan Masjid Negeri dan Jalan Batu Lanchang.
-- BERNAMA