KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lemah berbanding dolar AS apabila hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat 10 tahun melonjak kepada 4.91 peratus - tertinggi sejak 2007, sekali gus menunjukkan bahawa premium inflasi sedang meningkat, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai pada 4.7615/7650 berbanding dolar AS daripada penutupan Rabu pada 4.7445/7485.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kebimbangan utama dalam pasaran kini ialah konflik Palestine-Israel.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain kecuali pound Britain, menyaksikan ia mengukuh kepada 5.7809/7852 daripada 5.7869/7917 pada penutupan urus niaga Rabu.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding euro kepada 5.0181/0218 daripada 5.0140/0182 dan rendah berbanding yen pada 3.1794/1820 daripada 3.1685/1714 semalam (Rabu).

Berbanding mata wang Asia yang lain, ringgit turut diniagakan kebanyakannya rendah.

Nilai mata wang tempatan susut berbanding baht Thai kepada 13.0757/0907 daripada 13.0738/0914 dan lemah berbanding rupiah Indonesia pada 301.5/302.0 daripada 301.2/301.5 sebelumnya.

Ia turut merosot berbanding dolar Singapura pada 3.4669/469 daripada 3.4649/4681 tetapi nilai ringgit meningkat berbanding peso Filipina pada 8.36/8.39 daripada 8.37/8.38 semalam.

-- BERNAMA