KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS berikutan peniaga menerima minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan malam tadi, kata ahli ekonomi.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.7900/7950 berbanding dolar AS daripada 4.7920/7965 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut sebanyak 0.08 peratus kepada 103.99 selepas keputusan mesyuarat FOMC dikeluarkan malam tadi.

Beliau berkata Rizab Persekutuan AS optimis mengenai penilaiannya berhubung ekonomi berikutan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS kekal kukuh, selain kadar inflasi yang susut.

Sehubungan itu, ahli FOMC bersetuju bahawa kadar faedah perlu kekal tinggi sebelum mereka yakin inflasi akan mencecah ke arah matlamat dua peratus.

Justeru, hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun dan 10 tahun naik lima mata asas, masing-masing kepada 4.64 peratus dan 4.32 peratus.

"Pada masa ini, ringgit telah berada dalam kedudukan terlebih jual dari aspek teknikal, menunjukkan kemungkinan mencatatkan sedikit kenaikan.

"Bagaimanapun, sentimen lemah mungkin menyaksikan dolar AS kekal tinggi dan ringgit yang rendah akan berterusan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.1848/1884 daripada 3.1925/1957 pada Rabu, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 6.0570/0633 daripada 6.0432/0489 semalam dan susut berbanding euro kepada 5.1876/1930 daripada 5.1754/1802 sebelum ini.

Pada masa sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.3389/3584 daripada 13.3631/3816 pada Rabu dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 306.3/306.8 daripada 306.4/306.9 semalam.

Bagaimanapun, mata wang tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.5661/5701 daripada 3.5652/5688 pada Rabu dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.56/8.58.

-- BERNAMA