DUNIA
Bekas Menteri Pengangkutan Rusia maut dipercayai bunuh diri selepas dipecat Putin

Presiden Putin (kiri) mengadakan pertemuan dengan Starovoit di Kremlin, Moscow, Rusia pada 30 Januari lalu. – Gambar fail AP
MOSCOW: Bekas Menteri Pengangkutan Rusia, Roman Starovoit dilaporkan meninggal dunia akibat bunuh diri hanya beberapa jam selepas dipecat oleh Presiden Vladimir Putin, menurut pegawai penyiasat pada Isnin.
Pemecatan Starovoit diumumkan pada pagi Isnin menerusi dekri rasmi yang disiarkan di laman web Kremlin, dengan timbalannya, Andrey Nikitin, dilantik sebagai pemangku menteri.
Ketika ditanya mengenai sebab pemecatan itu, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov menafikan ia berpunca daripada “kehilangan kepercayaan,” namun tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut.
Jawatankuasa Penyiasatan Rusia dalam kenyataan berkata, mayat Starovoit ditemui dalam sebuah kenderaan di kawasan pinggir bandar Moscow, Odintsovo, dengan kesan tembakan pada badannya.Siasatan sedang dijalankan, namun pihak berkuasa percaya punca utama kematian adalah bunuh diri.

Sebelum dilantik sebagai menteri pada Mei 2024, Starovoit merupakan Gabenor wilayah Kursk di selatan Rusia.
Walaupun beliau meninggalkan jawatan itu sebelum serangan mengejut oleh Ukraine, beliau turut dipersalahkan atas kegagalan keselamatan di rantau tersebut.
Media tempatan turut melaporkan Starovoit sedang disiasat berhubung penyelewengan dana kerajaan bagi projek pembinaan kubu pertahanan di wilayah itu.
Program berita kerajaan, Vesti, serta media perniagaan bebas RBC dan akhbar harian Kommersant melaporkan, beliau berdepan kemungkinan ditahan.
Kommersant menyatakan waran tangkap sedang disediakan terhadapnya.
Pada April lalu, pendahulu Starovoit yang juga bekas timbalannya, Alexei Smirnov, telah ditahan dalam siasatan yang sama, menurut mahkamah di Moscow.
Pemecatan Starovoit berlaku ketika sistem penerbangan awam Rusia mengalami gangguan besar selama beberapa hari.
Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia melaporkan sebanyak 485 penerbangan dibatalkan, 88 penerbangan dilencongkan dan 1,900 lagi mengalami kelewatan sepanjang hujung minggu lalu sehingga ke Isnin.
Agensi itu menyalahkan "gangguan luar" sebagai punca, namun tidak memberi perincian lanjut.
Dalam masa sama, Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan, lebih 400 serangan jarak jauh Ukraine berjaya dipintas dalam tempoh tersebut.
Tentera Ukraine pula mendakwa telah menyerang sebuah loji kimia di Krasnozavodsk, utara Moscow, awal pagi Isnin.
Loji itu dikatakan menghasilkan peralatan piroteknik dan peluru, termasuk hulu ledak termobarik untuk dron jenis Shahed.
Serangan maut terus landa Ukraine
Sementara itu, sekurang-kurangnya 12 orang awam terbunuh manakala lebih 90 lagi cedera dalam serangan berterusan Rusia ke atas Ukraine dalam tempoh 24 jam hingga pagi Isnin, menurut pihak berkuasa Ukraine.
Di Kharkiv, sekurang-kurangnya 29 mangsa cedera termasuk tiga kanak-kanak berusia 3, 7 dan 11 tahun apabila dron Rusia mengenai sebuah bangunan kediaman, tadika dan kawasan komersial sekitar jam 6 pagi waktu tempatan.
Lima jam kemudian, serangan kedua menggunakan dron dilancarkan ke bandar sama, mencederakan sekurang-kurangnya 17 orang termasuk seorang remaja lelaki, kata Datuk Bandar Kharkiv, Ihor Terekhov.
Tentera Udara Ukraine dalam kenyataan berkata, sebanyak 101 dron jenis Shahed dan empat peluru berpandu permukaan-ke-udara dilancarkan Rusia dalam tempoh 24 jam lalu, dan 75 daripada dron itu berjaya dipintas melalui tembakan atau sistem gangguan isyarat.
Tentera Darat Ukraine turut melaporkan dua pejabat pengambilan rekrut tentera diserang dron Rusia pada Isnin - menjadikan jumlah serangan ke atas pusat perekrutan mencecah enam dalam tempoh lebih seminggu.
Pihak tentera percaya serangan itu bertujuan mengganggu proses pengambilan anggota baharu ke dalam pasukan tentera Ukraine.
Sekurang-kurangnya dua orang dilaporkan terbunuh dan lebih 12 cedera dalam siri serangan tersebut. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami